Gempa bumi di Johor tidak beri impak besar, hanya berlaku di Zon Sesar Mersing – NADMA
KUALA LUMPUR – Gegaran gempa bumi yang berlaku di Johor baru-baru ini disifatkan sebagai lemah dan dijangka tidak memberi kesan besar kepada penduduk.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, fenomena tersebut dijangka hanya berlaku di Zon Sesar Mersing di Semenanjung Malaysia.

Menurut beliau, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) merekodkan satu gempa bumi lemah bersama lima gempa bumi susulan dengan magnitud antara 2.5 hingga 4.1 di sekitar Segamat, Johor sejak 24 Ogos lalu.
“Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Selatan Pahang pada 24 Ogos, namun bagi gempa bumi susulan selepas itu, MET Malaysia tidak menerima laporan gegaran daripada negeri-negeri terbabit,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Sementara itu, Abdul Halim turut memaklumkan bahawa negara kini masih berada dalam fasa Monsun Barat Daya (MBD) yang bermula pada 10 Mei lalu dan dijangka berterusan hingga September ini.
Sepanjang tempoh itu, katanya, kadar kelembapan udara yang rendah menyebabkan pengurangan pembentukan awan hujan, sekali gus membawa kepada jumlah taburan hujan yang lebih rendah berbanding musim lain.
“Ketika kemuncak musim ini antara Julai hingga September, fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan boleh berlaku sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.
“Secara umum, rantau negara menerima tiupan angin baratan sepanjang tempoh ramalan,” jelasnya.
Beliau menambah, Lekukan Tropika Nongfa yang sebelum ini mempengaruhi cuaca telah lenyap dan kelajuan angin dijangka sedikit melemah.
Namun begitu, pembentukan garis badai berpotensi membawa ribut petir, hujan lebat serta angin kencang di barat Semenanjung Malaysia, barat Sabah dan utara Sarawak pada awal pagi.
“Ribut petir dan hujan pula dijangka berlaku di pedalaman serta timur Semenanjung, timur Sabah dan Sarawak pada sebelah petang dan malam sepanjang tempoh ramalan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







