PRN Sabah: Proses pengundian berjalan lancar
KOTA KINABALU – Proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 hari ini berjalan lancar dan terkawal setakat tegah hari tadi.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pemantauan awal di beberapa pusat mengundi menunjukkan aliran pengundi bergerak teratur sejak pusat mengundi dibuka pukul 8 pagi.
“Keadaan keseluruhannya baik, teratur dan terkawal. Tidak ada isu besar yang boleh menimbulkan keraguan atau kerisauan kepada rakyat,” katanya selepas meninjau proses pengundian di pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa dalam DUN Api-Api, di sini hari ini.
Mohd Khalid memberitahu, sehingga pukul 12 tengah hari tadi, polis telah menerima 157 laporan berkaitan kesalahan pilihan raya, kebanyakannya melibatkan perbuatan mencabut bendera, khianat terhadap poster serta provokasi politik.
Daripada jumlah itu, katanya, 86 kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan lanjut dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi penentuan arahan seterusnya.
“Kita juga merujuk beberapa kes kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan satu kes kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), melibatkan isu di media sosial seperti fitnah dan provokasi,” katanya.
Beliau memberi jaminan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang atau menggugat ketenteraman sepanjang hari pengundian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







