Autopilot : Tesla panggil semula 2 juta kenderaan
WASHINGTON – Tesla memanggil semula lebih 2 juta kenderaan di Amerika Syarikat (AS) untuk penukaran komponen selepas timbul isu keselamatan dalam sistem pemanduan autopilotnya.
Penarikan terbesar melibatkan hampir semua model itu diumumkan selepas tahap keselamatan kenderaan itu dipertikai oleh Pengawal Selia Keselamatan Persekutuan negara itu.
Melalui penarikan itu, Tesla mengesahkan bahawa kawalan sistem perisian autopilotnya mungkin tidak memadai untuk mengatasi kesilapan yang mungkin berlaku akibat kawalan automatik.
Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA) dilaporkan telah melakukan kajian selama lebih dua tahun bagi memastikan kenderaan elektrik itu selamat.
Dalam pada itu, pemangku Pentadbir NHTSA, Ann Carlson memuji Tesla kerana bersetuju dengan penarikan balik jenteranya di AS.

Carlson berkata, agensi itu membuka siasatan keselamatan pada Ogos 2021 selepas menerima laporan mengenai kemalangan maut yang berpunca daripada pemanduan autopilot.
“Maklum balas pertama kami ketika itu adalah untuk memastikan perkara ini dikaji dan disiasat secara teliti.
“Hasil daripada kajian, kami dapati pemandu memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada jentera mereka sebaik sahaja fungsi auto pilot itu dihidupkan,” katanya ketika pendengaran Dewan AS.
Tesla bagaimanapun tidak bersetuju dengan analisis NHTSA dan tampil dengan penyelesaian melalui kemas kini perisian yang dapat meningkat kawalan tambahan kepada pengguna.
Sementara itu, pihak berkuasa kenderaan Kanada mengumumkan, Tesla akan memanggil semula 193,000 kenderaan untuk menangani isu autopilot.
Autopilot Tesla membolehkan unit kereta memandu, memecut dan membrek secara automatik pada lorongnya, manakala fungsi autopilot yang dipertingkatkan pula boleh membantu jentera menukar lorong di lebuh raya namun tidak menjadikan kenderaan sepenuhnya autonomi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








