POLITIK

PRN Sabah: Generasi baharu Sulaman tuntut perubahan, calon muda BN tawar pembaharuan

TUARAN – Berbaki dua hari sahaja lagi sebelum tiba hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, suasana kempen di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) semakin rancak selepas pengundian awal anggota keselamatan berlangsung Selasa lalu.

Di DUN Sulaman, tumpuan kini terarah kepada calon muda, Dr Shahnon Rizal Thaijuddin yang tampil menawarkan pembaharuan kepada hampir 40 peratus pengundi muda di kawasan berkenaan.PRN Sabah: Generasi baharu Sulaman tuntut perubahan, calon muda BN tawar pembaharuan

Berkelulusan dari sebuah universiti perubatan terkemuka di Russia, beliau dilihat membawa citra baharu dalam gelanggang politik tempatan.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Bastien Onn, yang turun berkempen bersama calon itu berkata, Dr Shahnon memberi harapan baharu kepada pengundi yang sudah lama menuntut perubahan.

PRN Sabah: Generasi baharu Sulaman tuntut perubahan, calon muda BN tawar pembaharuan

“Saya lihat calon-calon yang diletakkan oleh lawan merupakan calon lama yang sudah selesa dengan keadaan sebegini,” katanya ketika menyertai program walkabout di Kampung Baru-Baru hari ini.

Program turun padang itu melibatkan sekitar 1,200 pengundi, dengan fokus mendengar keluhan penduduk yang sejak sekian lama berdepan isu asas termasuk bekalan air, infrastruktur dan akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Menurut Bastien, keadaan itu jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk memberi mandat kepada kepimpinan baharu.

“Takkanlah keadaan begini dibiarkan. Jauh daripada pembangunan dan terus menghadapi permasalahan asas. Mungkin pemimpin lama ini menganggap beliau akan menang tanpa perlu membawa perubahan nyata,” katanya.

Beliau menambah, pengundi Sulaman kini perlu menghantar mesej jelas bahawa “business no longer as usual”, dan masa depan kawasan itu harus dipacu tenaga dan visi baharu.

“Dr Shahnon belajar tinggi hingga ke Russia. Mana mungkin mata dan hati beliau sanggup melihat keadaan ini berterusan. Sudah 35 tahun kamu beri peluang. Kini masa untuk generasi baru melaksanakannya,” katanya lagi.

PRN Sabah dijangka menyaksikan persaingan sengit di beberapa kerusi termasuk Sulaman, dengan faktor pengundi muda menjadi penentu utama keputusan.

Kerusi N12 menyaksikan saingan lima penjuru menyaksikan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, yang juga penyandang kerusi itu, akan dicabar oleh empat calon lain selain Dr Shahnon Rizal, iaitu calon muka baharu yang ditampilkan Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, Bastien turut mendengar antara rungutan lain di Sabah iaitu soal tambang kapal terbang yang mahal untuk ke Semenanjung.

Dalam hal ini, beliau mahu Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memastikan tambang tidak membebankan rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button