BERITA SEMASA

PRN Sabah: SPR ingatkan bakal calon serah borang penamaan antara pukul 9 hingga 10 pagi, 15 Nov ini

KOTA KINABALU – Semua bakal calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 diingatkan untuk menyerahkan kertas penamaan calon mulai pukul 9 hingga 10 pagi, Sabtu ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, kertas penamaan calon itu hendaklah diserahkan kepada pegawai pengurus pilihan raya di 25 Pusat Penamaan Calon oleh pihak calon, pencadang dan penyokong.

“… atau diserahkan oleh mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bakal calon yang ingin bertanding turut diingatkan supaya mengisi borang dan membuat semakan awal dengan pejabat pegawai pengurus atau pejabat PRN Sabah sebelum hari penamaan serta membuat pembayaran deposit lebih awal.

“Resit pembayaran hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran,” katanya lagi.

Khairul Shahril turut menambah, bakal-bakal calon mewakili mana-mana parti politik hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon.

Calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya adalah tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT).

Khairul Shahril juga mengingatkan semua bakal calon serta parti politik terlibat sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan dikeluarkan SPR, PBT dan Polis Diraja Malaysia bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.

SPR menetapkan hari pengundian PRN Sabah ke-17 pada 29 November manakala hari mengundi awal adalah pada 25 November.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button