GRS, PH bentuk pakatan hadapi PRN Sabah
KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan membentuk pakatan dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang akan datang.
Perkara itu disahkan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini, lapor BERNAMA.
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, pembentukan pakatan itu telah dibincangkan dalam kalangan parti komponen GRS dan satu kata sepakat telah pun dicapai.
Hajiji, yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, langkah itu mencerminkan kerjasama berterusan antara GRS dan PH dalam pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.
“Sudah tentu kami bersedia, tetapi (formula pakatan pilihan raya) belum dimuktamadkan. Masih ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat 2025, di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PH Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, beliau amat menghargai kenyataan Hajiji atas semangat kerjasama yang ditunjukkan antara kedua-dua gabungan tersebut.
“Saya fikir ini berita baik untuk Sabah,” katanya.
Mustapha berkata langkah seterusnya melibatkan rundingan mengenai agihan kerusi dan berharap proses itu dapat dijalankan dengan adil.
Ketika ditanya berapa jumlah kerusi yang disasarkan oleh PH Sabah dalam pilihan raya negeri akan datang, Mustapha berkata gabungan itu menyasarkan antara 23 hingga 25 kerusi, tertakluk kepada hasil rundingan.
Tempoh lima tahun bagi Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16 akan tamat secara automatik pada 11 November, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








