STAR, SAPP keluar dari GRS
KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengumumkan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada gabungan tersebut dan akan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) nanti.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor yang berlangsung di Sri Gaya, di sini semalam.
Masidi turut berkata, mesyuarat selama dua jam itu turut dihadiri semua presiden parti komponen GRS.
“Agenda utama mesyuarat adalah untuk membincangkan dan mengemas kini persiapan gerak kerja GRS dalam menghadapi PRN17 yang akan diadakan tahun ini termasuklah rundingan agihan kerusi antara GRS dan Pakatan Harapan (PH).
“Dalam mesyuarat tersebut juga, Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee telah menyatakan hasrat parti masing-masing untuk bertanding menggunakan lambang parti sendiri dalam PRN17 nanti.
“Mereka memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat kerana tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dimuktamadkan antara GRS dan PH.
“Ini bermakna STAR dan SAPP berkemungkinan akan meletakkan calon di kawasan-kawasan DUN yang juga bakal ditandingi calon-calon dari PH,” katanya dalam kenyataan satu kenyataan, hari ini.
Dalam mesyuarat sama, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah menegaskan semua parti komponen perlu menghormati persetujuan kerjasama dengan PH sebelum ini.
“Beliau turut menegaskan bahawa atas prinsip kesatuan, GRS harus bergerak sebagai satu entiti, dengan semua calon GRS menggunakan lambang yang sama, iaitu lambang GRS, dalam menghadapi PRN17.
“Setelah perbincangan secara terbuka dan ikhlas selama hampir dua jam, mesyuarat memutuskan bahawa mana-mana parti komponen yang memilih untuk meletakkan calon menggunakan lambang parti masing-masing dianggap telah keluar daripada GRS. Oleh itu, calon-calon daripada parti tersebut tidak lagi mewakili GRS dalam PRN17,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








