POLITIK

Abu Bakar Ellah kembali ke dunia politik

Calon Parti KDM di DUN Kuamut

KOTA KINABALU – Artis veteran, Abu Bakar Ellah kini kembali ke gelanggang politik selepas lebih dua dekad.

Penyanyi berusia 66 tahun itu akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut di bawah tiket Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 nanti, lapor NST.

“Mungkin anda masih ingat bahawa pada tahun 2003, saya pernah bertanding sebagai calon bebas. Dua puluh dua tahun kemudian, saya kembali semula, tetapi kali ini bezanya, saya bukan lagi calon bebas.

“Kali ini saya berdiri di bawah parti baharu dengan kekuatan dan semangat perjuangan yang diperbaharui,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden KDM berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon PRN Sabah Parti KDM oleh Pengarah Pilihan Raya parti, Datuk Wetrom Bahanda, hari ini.

Abu Bakar yang turut dikenali dengan nama pentas Ampal berkata, keputusannya untuk kembali ke dunia politik dipengaruhi oleh rakan-rakan yang berkongsi matlamat untuk memperjuangkan kesejahteraan masyarakat setempat.

“Saya kembali atas permintaan rakan-rakan yang mempunyai semangat sama untuk memperjuangkan kawasan masing-masing dan menyelesaikan isu-isu tempatan. Itulah yang mendorong saya untuk kembali.

“Saya melihat semangat baharu dalam KDM, sebuah parti yang mampu membantu menyelesaikan masalah yang digariskan dalam manifesto 12 perkara kami. Ia manifesto yang ringkas dan asas, namun selepas 64 tahun sejak pembentukan Malaysia, matlamat seperti pembangunan infrastruktur asas dan hak perlembagaan masih belum tercapai,” katanya.

Di kerusi Kuamut nanti, Abu Bakar yang pernah popular dengan lagu ‘Orang Kita’, dijangka berdepan penyandang kerusi daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Masiung Banah, serta calon Parti Warisan, Norfaizah Chua @ Giak Kiang.

“Saya dilahirkan di Pinangah. Walaupun saya membesar di bandar, saya tetap anak jati kaum Sungai, sepenuhnya. Keluarga saya membesar di sana, jadi kembali bertanding di kawasan itu terasa semula jadi. Selepas hampir 60 tahun meninggalkan kampung, saya rasa sudah tiba masanya untuk memberi semula kepada masyarakat.

“Jika latar belakang seni membantu saya mendekati orang ramai dan membuat mereka lebih mudah mengenali saya, saya anggap itu sebahagian daripada perjuangan asal saya dalam bidang seni. Jika ia memberi manfaat, Alhamdulillah, saya bersyukur,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button