BERITA SEMASA

Kembara JOM 2.0 Zon Timur gerakkan penglibatan belia Orang Asli – Adam Adli

BENTONG – Program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) 2.0 Zon Timur berjaya menghimpunkan lebih 600 peserta dari tiga negeri Pantai Timur sekali gus mengukuhkan usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mendekati komuniti belia termasuk masyarakat Orang Asli.

Peserta Kembara Jumpa Orang Muda 2.0 Zon Timur mengeratkan silaturahim  dengan masyarakat Orang Asli Kg. Sg. Dua, Bentong
Peserta Kembara Jumpa Orang Muda 2.0 Zon Timur mengeratkan silaturahim dengan masyarakat Orang Asli Kg. Sg. Dua, Bentong

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, program selama tiga hari itu bukan sekadar medan pertemuan dengan anak muda, tetapi juga platform untuk menggerakkan semangat dan penglibatan mereka dalam aktiviti pembangunan belia.

“Saya harap program Kembara Jumpa Orang Muda ini menjadi permulaan untuk kita aktifkan semula penglibatan belia, khususnya di kawasan masyarakat Orang Asli.

Ahli Parlimen Bentong, YB Young Syefura meninjau dan menyertai aktiviti Program Khidmat Komuniti dan Pembersihan Kawasan Sungai/ Air Terjun 
Lata Bunta
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura meninjau dan menyertai aktiviti Program Khidmat Komuniti dan Pembersihan Kawasan Sungai/ Air Terjun Lata Bunta

“Setakat ini, kita dapati masih belum ada wakil belia dari komuniti ini, dan sebab itu program seperti ini menjadi peluang untuk kita libatkan mereka secara lebih menyeluruh,” katanya ketika berucap pada majlis penutup program berkenaan di Kampung Sungai Dua, Bentong, hari ini.

YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan menyantuni soal jawab belia dalam Sesi Townhall, Kembara Jumpa Orang Muda Zon Timur
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli menyantuni soal jawab belia dalam Sesi Townhall, Kembara Jumpa Orang Muda Zon Timur

Adam berkata, penganjuran Kembara JOM 2.0 Zon Timur merupakan siri keempat daripada enam zon bagi tahun ini dan melibatkan aktiviti perkhemahan selama tiga hari di padang Sekolah Kebangsaan Sungai Dua serta sesi townhall dengan penyertaan 628 peserta dari Pahang, Terengganu dan Kelantan.

YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan beramah mesra dengan anak Orang Asli yang mendapatkan perkhidmatan gunting rambut daripada pelajar IKBN Temerloh
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli beramah mesra dengan anak Orang Asli yang mendapatkan perkhidmatan gunting rambut daripada pelajar IKBN Temerloh

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), KEMAS, Jabatan Perhutanan Pahang, serta Majlis Belia Pahang yang bersama-sama menjayakan program tersebut.

“Ini adalah salah satu cara kami di KBS untuk menyantuni masyarakat dan mendekati orang muda.

“Saya berharap program ini dapat membawa manfaat serta mengeratkan lagi hubungan antara agensi kerajaan dengan komuniti setempat,” katanya lagi.

Adam turut berterima kasih kepada Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bentong yang memberi sokongan penuh sepanjang penganjuran program itu.

Menurut beliau, KBS komited memastikan setiap siri Kembara JOM bukan sekadar aktiviti lapangan semata-mata, tetapi turut meninggalkan impak positif kepada komuniti melalui sumbangan, program pembangunan dan jaringan kerjasama antara agensi serta belia tempatan.

“Usaha ini bukan hanya sekadar duduk berbincang dengan belia luar bandar, tetapi memastikan setiap daerah yang kami kunjungi menerima manfaat yang berpanjangan,” katanya lagi.

Program Kembara JOM 2.0 akan diteruskan ke dua lagi zon terakhir sebelum menutup kalendar penganjurannya tahun ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button