BERITA SEMASA

MyPR: Permohonan permit masuk pasangan diperkemas

PUTRAJAYA – Bermula suku ketiga tahun ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan dalam proses permohonan Permit Masuk untuk mendapatkan taraf pemastautin tetap (MyPR), khususnya bagi kategori pasangan kepada warganegara.

Menurutnya dalam satu kenyataan, penambahbaikan itu selari dengan komitmen kerajaan Madani untuk memastikan dasar-dasar yang adil dan efisien dilaksanakan demi kebajikan semua pihak.

Katanya, antara langkah utama yang telah digariskan termasuk penyelarasan tempoh perkahwinan.

“Pasangan kepada warganegara yang memohon Permit Masuk perlu mencapai tempoh minimum tiga tahun perkahwinan dan memegang Pas Lawatan (Sosial) selama sekurang-kurangnya satu tahun.

“Ini bertujuan memastikan proses pemohonan lebih teratur dan relevan dengan keperluan institusi kekeluargaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, turut dibuat ialah pemendekan tempoh pemprosesan piagam pelanggan telah diperkemas dengan menetapkan tempoh pemprosesan permohonan baharu kepada enam bulan.

Pada masa sama katanya, KDN akan mengecualikan pelaksanaan Sistem Mata bagi kategori pasangan warganegara sebaliknya, faktor seperti tempoh perkahwinan dan bilangan anak akan diambil kira dalam mempertimbangkan kelulusan, bagi memelihara kebajikan keluarga yang sah dan tulen.

“Pelaksanaan inisiatif-inisiatif tersebut akan bermula selewat-lewatnya pada 30 September 2025 (suku tahun ketiga 2025).

“Penambahbaikan ini mencerminkan komitmen KDN dalam mendukung institusi kekeluargaan, seiring dengan aspirasi kerajaan Madani yang menitikberatkan belas ihsan dan pemberdayaan kemanusiaan.

“Dengan langkah-langkah ini, KDN yakin ia akan dapat meningkatkan kepercayaan terhadap sistem permohonan Permit Masuk dan memberikan manfaat kepada semua pihak berkepentingan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button