BISNES & EKONOMI

PuTERA35 perkasa usahawan, PUNB tekankan tadbir urus kukuh

KUALA LUMPUR – Program PuTERA35 dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh pembangunan usahawan Bumiputera dengan penekanan terhadap aspek tadbir urus dan disiplin kewangan.

Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) berkata, pembangunan usahawan tidak boleh tertumpu kepada pembiayaan semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan sistem pengurusan dalaman yang kukuh bagi memastikan kelangsungan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izwan Zainuddin berkata, pihaknya menyediakan pelbagai program latihan bagi membantu usahawan memperkukuh tadbir urus syarikat serta membentuk disiplin dalam pengurusan kewangan.

“Apabila pembiayaan dan khidmat nasihat diberikan, kita juga perlu pastikan tadbir urus syarikat berada pada tahap yang baik.

“Antara perkara penting ialah disiplin dalam menguruskan aliran tunai dan kewangan supaya perniagaan dapat berkembang secara mampan,” memetik Awani online.

Dalam perkembangan sama, syarikat di bawah sokongan PUNB, Glide Technology Sdn Bhd terus mengorak langkah mengembangkan perniagaan ke segmen minyak alat ubah bagi sistem bekalan elektrik.

Ketua Pegawai Kewangannya, Zarita Azlin Ibrahim berkata, pihaknya sedang membangunkan minyak transformer berasaskan kelapa sawit melalui kerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Menurutnya, produk tersebut kini berada di peringkat akhir selepas melalui ujian dan dijangka mula dibekalkan ke pasaran menjelang hujung tahun ini.

Perkembangan itu dilihat mampu membuka peluang baharu dalam sektor tenaga selain menyokong inovasi tempatan berasaskan sumber mampan.

Pada masa sama, inisiatif melalui PuTERA35 mencerminkan peranan PUNB dalam memperkukuh daya saing usahawan Bumiputera bukan sahaja dari segi pembiayaan, malah aspek pengurusan dan pertumbuhan perniagaan secara menyeluruh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button