JENAYAH & MAHKAMAH

Polis siasat dakwaan fitnah terhadap MAIS

SHAH ALAM – Polis Selangor sedang menyiasat dakwaan fitnah terhadap Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang disebarkan seorang pemilik akaun aplikasi TikTok.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, pihaknya sudah membuka satu kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau menambah, siasatan dilaksanakan susulan laporan yang diterima kira-kira pukul 3.50 petang kelmarin.

“Berdasarkan laporan, pengadu mendakwa kandungan video tersebut adalah fitnah kerana melemparkan tuduhan rasuah serta penggunaan imuniti istana yang dilihat sengaja dibuat bagi menjejaskan imej pihak MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Sehubungan itu,, orang ramai diminta memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan secara adil serta tidak membuat sebarang spekulasi dan komen yang boleh menggugat keharmonian serta ketenteraman awam.

Laporan media sebelum ini menyebut, MAIS akan mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman fitnah terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan dakwaan tidak benar berhubung isu tunggakan bayaran projek pembinaan Masjid Al-Madaniah, Jalan USJ 18/7, Subang di sini.

Setiausaha MAIS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini memaklumkan, pihaknya memandang serius penularan satu video di aplikasi di TikTok, Isnin lalu yang mengaitkan kononnya berlaku isu tunggakan bayaran serta salah urus melibatkan MAIS dalam projek berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button