UMNO teruskan PAU 2025, perwakilan Sabah diberi kelonggaran
KUALA LUMPUR – UMNO tetap meneruskan Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU 2025) yang dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 17 Januari 2026, walaupun tarikh berkenaan bertembung dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat hasil mesyuarat Biro Politik yang kemudiannya diangkat dan dipersetujui oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO minggu lalu.
Menurut beliau, PAU 2025 akan dilaksanakan mengikut ketetapan Perlembagaan parti, namun kelonggaran diberikan kepada perwakilan dari Sabah memandangkan tarikh perhimpunan berkenaan bertembung dengan tempoh kempen PRK di negeri itu.
“Kita telah memutuskan pada 14, 15, 16 dan 17 Januari, khususnya bagi perwakilan daripada Sabah kerana tarikh tersebut bertindak dengan tarikh PRK DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan High Innovation Product and Service Expo (HIPEX) 2025 di Kompleks MARA Halal Industrial Park (MIHP) di sini, hari ini.
Terdahulu, UMNO menangguhkan PAU 2025 kepada 14 hingga 17 Januari tahun depan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Oktober lalu.
Walau bagaimanapun, kematian penyandang kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, pada 5 Disember lalu membawa kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kedua-dua kerusi berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen dan DUN itu pada 24 Januari ini.
Asyraf berkata, UMNO membenarkan perwakilan dari Sabah sama ada hadir secara fizikal atau mengikuti perhimpunan secara dalam talian bagi memastikan mereka tetap dapat terlibat dalam PAU 2025, selain memberi ruang untuk menumpukan perhatian kepada kempen pilihan raya.
Beliau menegaskan, semua perancangan telah direncanakan dengan baik walaupun PAU 2025 berlangsung di tengah-tengah siri kempen PRK berkenaan.
Ditanya mengenai kemungkinan usul desakan supaya MIC keluar daripada Barisan Nasional (BN), Asyraf menjelaskan perkara tersebut perlu dirujuk kepada Setiausaha Agung Barisan Nasional kerana melibatkan parti komponen gabungan itu.
“Itu kena tanya Setiausaha Agung BN kerana membabitkan komponen BN,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








