BERITA SEMASAPOLITIK

PRK Ayer Kuning: DAP sedia kerah jentera bantu Barisan Nasional

SHAH ALAM – DAP bersedia untuk mengerahkan jentera partinya untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak akan datang.

Komitmen tersebut disuarakan sendiri oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang menyifatkan ia sebagai lumrah dalam sesebuah gabungan politik untuk membantu antara satu sama lain.

“Ini sudah menjadi kebiasaan kita. Dalam mana-mana PRK pun yang membabitkan parti dalam Kerajaan Perpaduan akan kita bantu.

“Seperti mana juga mereka bantu kita di (PRK DUN) Kuala Kubu Bharu sebelum ini, sudah tentu kita akan bantu di DUN Ayer Kuning juga,” katanya pada sidang media Kongres DAP Ke-18 di sini, hari ini.

Hadir sama, Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button