Lebih 500 penumpang dikhuatiri maut selepas dua bot Rohingya karam
BANGKOK – Lebih 500 penumpang dikhuatiri terkorban selepas dua bot yang membawa pelarian, kebanyakannya etnik Rohingya, dipercayai karam di luar pesisir Myanmar dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tragedi itu berlaku ketika pelarian dari negara yang dilanda konflik berkenaan terus mempertaruhkan nyawa meredah laluan laut berbahaya bagi mencari perlindungan dan kehidupan yang lebih baik.
“Menurut maklumat awal, kedua-dua bot itu berlepas dari Negeri Rakhine, Myanmar pada penghujung Jun dengan membawa kebanyakan penumpang etnik Rohingya.
“Ini termasuk sebahagian yang dipercayai datang dari kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh,” menurut kenyataan bersama Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) dan Agensi Pelarian PBB (UNHCR), hari ini.
Menurut kenyataan itu, lebih 500 penumpang dikhuatiri maut dalam tragedi berkenaan.
“Walaupun kes dan jumlah korban itu masih belum disahkan secara rasmi, UNHCR dan IOM amat bimbang terhadap kemungkinan berlakunya kehilangan nyawa dalam jumlah yang amat besar,” menurut kenyataan itu.
Sejak beberapa tahun lalu, komuniti minoriti Islam Rohingya di Myanmar terus mempertaruhkan nyawa menaiki bot kayu uzur akibat keganasan di negara asal serta keadaan hidup yang serba daif di kem pelarian yang sesak di Bangladesh.
Mereka berharap dapat mencari perlindungan dan kehidupan lebih baik di negara seperti Malaysia, Indonesia atau Thailand.
Menurut agensi PBB itu, bot pertama yang membawa kira-kira 250 penumpang terputus hubungan sejurus belayar, manakala bot kedua yang membawa kira-kira 280 penumpang dipercayai karam di perairan Ayeyarwady, Myanmar pada 8 Julai.
“Perjalanan ini dilakukan di luar musim pelayaran biasa, ketika keadaan laut lazimnya lebih berbahaya,” menurut kenyataan itu.
Agensi berkenaan turut memaklumkan hampir 300 individu dilaporkan hilang atau maut di Laut Andaman dan Teluk Benggala sepanjang tahun ini, termasuk pelarian Rohingya dan warga Bangladesh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








