BERITA SEMASA

J-KOM digesa tangani naratif negatif terhadap Malaysia oleh aktivis Rohingya

SINTOK – Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) digesa mengambil pendekatan lebih proaktif dan strategik bagi menangani kenyataan aktivis Rohingya, Noor Azizah yang didakwa berulang kali mengeluarkan naratif negatif sehingga berpotensi menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

Penganalisis Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, kenyataan yang dikeluarkan Noor Azizah tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia melibatkan persepsi masyarakat antarabangsa terhadap dasar kemanusiaan serta kredibiliti Malaysia.

Menurut beliau, perkara itu lebih membimbangkan memandangkan Malaysia telah memberikan perlindungan, keselamatan dan ruang kehidupan kepada Noor Azizah serta keluarganya selama lebih lapan tahun sebelum mereka berhijrah ke negara ketiga.

uum
Nur Ashikin Yusof.

“Naratif yang berterusan mengaitkan Malaysia dengan gambaran negatif tanpa keseimbangan fakta boleh dilihat sebagai tidak menghormati negara yang pernah memberikan perlindungan ketika mereka berada dalam keadaan memerlukan bantuan.

“Isu ini bukan sekadar berkaitan kebebasan bersuara, malah turut menyentuh soal tanggungjawab moral dan sensitiviti terhadap negara yang telah memainkan peranan penting dalam kelangsungan hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Nur Ashikin berkata, dari sudut kepentingan nasional dan keselamatan negara, tindakan sedemikian berpotensi mencalarkan reputasi Malaysia di mata dunia serta menjejaskan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap dasar luar dan pendekatan kemanusiaan negara.

Sehubungan itu, beliau berpandangan kerajaan perlu mengambil pendirian lebih tegas dan strategik bagi memastikan naratif yang tidak tepat tidak terus mempengaruhi persepsi antarabangsa.

Beliau turut menggesa J-KOM memainkan peranan lebih agresif melalui pelaksanaan komunikasi strategik dan pembinaan “counter-narrative” yang berkesan bagi mempertahankan imej negara.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah memperkukuhkan mekanisme respons pantas bagi menangkis dakwaan tidak tepat menggunakan fakta dan data sahih, membangunkan kerangka naratif balas yang konsisten mengenai sumbangan Malaysia kepada pelarian Rohingya, serta memperluaskan libat urus dengan media antarabangsa dan platform digital.

Selain itu, beliau turut mencadangkan kerjasama lebih erat antara J-KOM, agensi keselamatan dan kementerian berkaitan bagi memantau serta menangani kenyataan yang berpotensi menjejaskan kepentingan negara.

Di samping itu, kempen kesedaran awam secara berterusan juga perlu diperkasakan supaya rakyat memahami konteks sebenar isu pelarian dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif luar yang disifatkan tidak seimbang.

“Respons yang tegas, tersusun dan strategik amat diperlukan bagi memastikan imej Malaysia terus terpelihara, di samping mempertahankan kepentingan nasional daripada sebarang naratif yang boleh menjejaskan reputasi negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button