BERITA SEMASA

TLDM selamatkan mangsa terkandas di Pulau Jarak dan insiden bot karam di perairan Pulau Perak

KUALA LUMPUR – Tindakan pantas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menyelamatkan sembilan mangsa terkandas di Pulau Jarak dan 19 mangsa bot karam di perairan Pulau Perak, susulan hujan lebat dan cuaca buruk yang melanda negara sejak beberapa hari lalu.

Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Strategik TLDM, kejadian pertama berlaku apabila tanah runtuh di beberapa lokasi Pulau Jarak menimbulkan risiko kepada keselamatan warga awam dan anggota bertugas.

Petugas Jabatan Laut di Stesen Jarak diselamatkan selepas terkandas akibat tanah runtuh di pulau tersebut.

“Seramai sembilan orang awam yang sedang menjalankan kerja penyenggaraan suar terkandas di pulau tersebut.

“Sebuah helikopter Super Lynx dikerahkan untuk memindahkan mereka dari kawasan berisiko tinggi dan kesemua mangsa berjaya diselamatkan,” kata kenyataan tersebut.

Dalam kejadian berasingan di perairan Pulau Perak pula, Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi SAR pada pukul 11.00 pagi semalam selepas menerima laporan sebuah bot karam akibat cuaca buruk.

Mangsa nahas bot karam ditemui Kapal KD Ledang terapung di perairan Pulau Perak.

“Kapal KD Ledang digerakkan ke lokasi dan operasi berterusan di lapangan membuahkan hasil apabila kesemua 19 mangsa berjaya ditemui pada pukul 10.15 malam tadi, termasuk seorang mangsa yang disahkan meninggal dunia.

“Mangsa yang terselamat menerima rawatan awal oleh pasukan perubatan sebelum dibawa ke daratan untuk tindakan lanjut,” tambah kenyataan itu.

TLDM juga menasihatkan agar komuniti maritim lebih berhati-hati apabila keluar ke laut khususnya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu pada ketika ini.

“Kapal yang digunakan juga hendaklah berada dalam keadaan baik dan mampu beroperasi sesuai dengan keadaan perairan Selat Melaka yang agak bergelora.

“Tambahan pula, angin kencang dan hujan lebat mampu meningkatkan risiko ombak tinggi serta penglihatan yang terhad. Demi keselamatan, orang ramai dinasihatkan mematuhi amaran cuaca dan mendapatkan maklumat awal dari pihak berkuasa sebelum keluar ke laut,” tegas kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button