BERITA SEMASA

Negeri Sembilan peruntuk RM4 juta perkasa komuniti Orang Asli

JELEBU – Kerajaan Negeri Sembilan komited memastikan masyarakat Orang Asli terus diperkasa melalui pelbagai inisiatif pembangunan dan pemeliharaan warisan budaya, kata Exco Kanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Berucap sempena sambutan Hari Orang Asli Sedunia 2025, beliau berkata, komuniti itu adalah sebahagian penting daripada warna-warni masyarakat Negeri Sembilan selain menjadi penjaga khazanah alam dan budaya yang dibanggakan.

Negeri Sembilan peruntuk RM4 juta perkasa komuniti Orang Asli
Negeri Sembilan peruntuk RM4 juta perkasa komuniti Orang Asli

“Mereka bukan sekadar sebahagian daripada negeri ini, tetapi juga penjaga warisan dan alam sekitar.

“Semua ini adalah aset yang tidak ternilai,” katanya menerusi hantaran di laman X, hari ini.

Jalaluddin berkata, sepanjang tahun ini kerajaan negeri telah membelanjakan RM4,017,560 bagi enam projek utama melibatkan bekalan air terawat, infrastruktur sosial, jalan perhubungan, bantuan bina baharu dan baik pulih rumah, modernisasi pertanian serta pengukuhan keusahawanan luar bandar.

Beliau berkata, jumlah itu tidak termasuk jutaan ringgit lagi yang disalurkan untuk pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti kemajuan masyarakat Orang Asli di negeri berkenaan.

“Tiada siapa yang tertinggal, tiada siapa yang terpinggir. Pembangunan mesti berjalan seiring dengan pemeliharaan identiti dan hak mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri akan memulakan langkah pertama proses pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) awal minggu depan, perkara yang sering dibangkitkannya di Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat.

“Syukur cadangan ini telah disambut baik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Paling penting ialah kita menghargai, meraikan dan menyokong komuniti Orang Asli bukan hanya pada hari ini, tetapi setiap hari,” katanya lagi.

Jalaluddin turut berkata, harapan agar masyarakat Orang Asli terus maju, sejahtera dan terus mewarnai Negeri Sembilan dengan keindahan budaya mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button