BERITA SEMASA

Pavilion Negeri Sembilan di MAHA 2026 akan ditambah baik

SERDANG – Kerajaan Negeri Sembilan mengambil maklum pelbagai pandangan, teguran dan komen orang ramai berhubung Pavilion Negeri Sembilan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

EXCO Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri Sembilan, Datuk Razali Abu Samah berkata, setiap pandangan yang dikemukakan masyarakat dilihat sebagai input penting bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan pada masa akan datang.

pavilion
Pemandangan dari udara menunjukkan Pavilion Negeri Sembilan di MAHA 2026.

Menurutnya, isu berkenaan bukan sekadar berkaitan sebuah pavilion, sebaliknya menyentuh soal bagaimana wajah, identiti dan potensi Negeri Sembilan diketengahkan kepada pengunjung dari seluruh negara.

“Untuk pengetahuan semua, Pavilion ‘Kekal’ Negeri Sembilan di MAHA ini merupakan projek yang diperuntukkan melalui Belanjawan Negeri Sembilan 2025, diluluskan dan dimulakan di bawah pentadbiran sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) 2026.

“Proses pembinaan dan penyempurnaannya pula berlangsung sehingga tahun 2026 dan disiapkan di bawah pentadbiran baharu,” katanya menerusi hantaran di Threads.

Razali berkata, projek berkenaan bukan di bawah portfolio Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, sebaliknya disiapkan dalam tempoh lapan bulan dengan kos hampir RM3 juta dan digunakan semasa MAHA 2026.

Katanya, pavilion berkenaan kini menjadi sebahagian daripada aset kerajaan negeri dan perkara lebih penting adalah memastikan kemudahan itu dimanfaatkan sebaik mungkin serta memberi impak maksimum kepada rakyat dan Negeri Sembilan.

“MAHA 2026 merupakan platform besar untuk kita memperkenalkan makanan, usahawan, produk tempatan, teknologi pertanian, industri asas tani, budaya, warisan, pelancongan, agropelancongan serta peluang ekonomi Negeri Sembilan kepada masyarakat seluruh Malaysia.

“Sebab itu, setiap teguran dan pandangan masyarakat kita terima sebagai input untuk penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata, konsep, reka bentuk, persembahan, kandungan dan pengalaman pengunjung perlu dinilai semula bagi memastikan penyertaan Negeri Sembilan pada MAHA akan datang lebih berkesan.

“Kita mahu apabila seseorang melangkah masuk ke Pavilion Negeri Sembilan, mereka bukan sekadar melihat produk, tetapi merasai Negeri Sembilan.

“Mengenali makanan kita, usahawan kita, budaya kita, Adat Perpatih, warisan, produk tempatan dan destinasi pelancongan yang kita ada,” katanya.

Dalam pada itu, Razali menegaskan kerajaan negeri tidak memandang ringan pandangan yang disuarakan masyarakat berhubung pavilion berkenaan.

“Apa yang sudah ada, kita manfaatkan sebaik mungkin. Apa yang masih kurang, kita perbaiki. Apa yang mempunyai potensi, kita tambah nilainya.

“Kita tidak perlu terus melihat ke belakang. Tanggungjawab kita sekarang ialah memastikan apa yang telah dirancang dan dibangunkan dapat dimanfaatkan dengan lebih baik demi rakyat dan Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata, pandangan masyarakat akan turut diambil kira dalam merancang penyertaan Negeri Sembilan pada MAHA akan datang.

“Kita mahu Pavilion Negeri Sembilan bukan sekadar ‘ada’ di MAHA, tetapi menjadi ruang yang menarik orang untuk datang, membuat mereka mengenali Negeri Sembilan dan akhirnya membuat mereka mahu berkunjung sendiri ke negeri kita.

“Itulah tanggungjawab kita,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button