BERITA SEMASA

Industri agro makanan KADA jadi sumber rezeki, sokong keselamatan makanan negara – Mohamad Sabu

PUTRAJAYA – Industri agro makanan di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dijangka terus menjadi sumber rezeki yang kukuh kepada rakyat serta penyumbang penting kepada keselamatan makanan negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata demikian selepas mendengar taklimat berkaitan Industri Hiliran KADA yang sedang digerakkan oleh agensi tersebut, di sini semalam.

“Saya diberi penerangan jelas mengenai usaha KADA memperkukuh pembangunan produk berasaskan agro makanan serta strategi pengezonan komoditi bagi memastikan pembangunan lebih tersusun dan selaras dengan potensi setempat.

“Pendekatan ini membolehkan setiap kawasan memberi tumpuan kepada komoditi yang paling sesuai dan berdaya saing,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah beliau, KADA turut menumpukan perhatian kepada pembangunan usahawan ternakan termasuk ruminan bagi melengkapkan ekosistem agro makanan dan rantaian bekalan industri hiliran.

“Apabila pengeluaran huluan dan hiliran bergerak seiring, industri dapat berkembang dengan lebih mantap dan mampan,” ujarnya.

Mohamad Sabu yakin, dengan usaha berterusan ini, industri agro makanan di bawah KADA akan terus menyumbang kepada kemakmuran rakyat dan keselamatan makanan negara.

Justeru, beliau menyeru semua pihak untuk terus bekerja dengan semangat MADANI bagi mencapai matlamat tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button