LUAR NEGARA

Serangan Iran cetus kebakaran di Kuwait, Bahrain; seorang maut di UAE

BANDAR KUWAIT – Serangan dron Iran dilapor mencetuskan kebakaran besar di Kuwait dan Bahrain, selain mengorbankan seorang lelaki di Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika konflik melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel memasuki minggu kelima.

Jurucakap Direktorat Am Penerbangan Awam Kuwait, Abdullah al-Rajhi berkata, lapangan terbang antarabangsa negara itu menjadi sasaran serangan dron dipercayai dilancarkan oleh Iran dan sekutunya.

Menurut beliau, serangan tersebut menyasarkan tangki bahan api di lapangan terbang, menyebabkan kebakaran besar di lokasi berkenaan.

“Pasukan kecemasan telah dikerahkan dan setakat ini kerosakan melibatkan harta benda sahaja tanpa sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya memetik laporan Al Jazeera.

Di Bahrain, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan, pasukan pertahanan awam sedang memadamkan kebakaran di sebuah fasiliti milik sebuah syarikat susulan serangan yang dikaitkan dengan Iran.

Dalam perkembangan berkaitan, sebuah kapal tangki dilaporkan terkena objek tidak dikenal pasti berhampiran ibu negara Doha, Qatar menyebabkan kerosakan pada bahagian badan kapal.

Menurut laporan operasi perdagangan maritim United Kingdom, kapal itu diserang kira-kira 17 batu nautika di utara hab industri Ras Laffan, pusat utama pengeluaran gas negara berkenaan yang sebelum ini turut menjadi sasaran peluru berpandu Iran.

Kementerian Pertahanan Qatar pula mengesahkan, tiga peluru berpandu kruis dilancarkan dari Iran ke arah negara itu, dengan dua berjaya dipintas manakala satu lagi mengenai kapal tangki yang disewa oleh syarikat tenaga nasional, QatarEnergy.

Kesemua 21 anak kapal berjaya dipindahkan dan tiada kecederaan dilaporkan.

Sementara itu, di UAE, seorang warga Bangladesh maut selepas serpihan dron yang dipintas jatuh di sebuah ladang di kawasan Al-Rifaa, Fujairah.

Pihak berkuasa Arab Saudi pula memaklumkan, beberapa dron berjaya dipintas dan dimusnahkan tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.

Negara-negara Teluk yang kaya dengan sumber minyak kini menanggung kesan besar susulan serangan Iran sebagai tindak balas terhadap serangan udarA AS-Israel.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button