Kelewatan pengebumian Ali Khamenei cetus persoalan, faktor keselamatan jadi kebimbangan
TEHRAN – Lebih tujuh minggu selepas kematian Ayatollah Ali Khamenei, pihak berkuasa Iran masih belum memuktamadkan lokasi pengebumian pemimpin tertinggi itu.
Menurut laporan agensi penyiaran BBC, New York Post dan NDTV, kelewatan luar biasa itu berbeza dengan tradisi negara berkenaan yang lazimnya menguruskan pengebumian pemimpin tertinggi dalam tempoh singkat.
Khamenei, 86, dilaporkan terbunuh dalam serangan udara gabungan Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada 28 Februari lalu yang turut mencetuskan konflik berskala besar di rantau tersebut.

Seorang penganalisis keselamatan dari Foundation for Defense of Democracies, Behnam Taleblu mendakwa, kelewatan itu berpunca daripada kebimbangan pihak berkuasa Iran terhadap risiko keselamatan.
“Secara ringkas, rejim terlalu bimbang dan tidak bersedia mengambil risiko untuk mengadakan upacara besar,” katanya seperti dipetik laporan antarabangsa.
Tambah beliau, antara faktor yang diambil kira termasuk kemungkinan serangan udara lanjut, risiko demonstrasi besar-besaran serta keperluan menjelaskan ketiadaan pemimpin baharu, Mojtaba Khamenei yang jarang muncul di khalayak sejak dilaporkan mengambil alih kepimpinan.
Berbeza dengan pengebumian Ruhollah Khomeini pada 1989 yang menghimpunkan jutaan rakyat di Tehran, suasana sama tidak dapat direalisasikan susulan serangan berterusan yang melanda Iran sejak beberapa minggu lalu.
Media tempatan melaporkan, bandar Mashhad di timur laut Iran kini dipertimbangkan sebagai lokasi pengebumian kerana faktor keselamatan, selain ia merupakan kampung halaman Khamenei.
Bandar itu juga menempatkan makam Imam Reza, antara lokasi suci utama bagi umat Islam mazhab Syiah sekali gus mempunyai kawalan keselamatan yang lebih ketat.
Sebelum ini, Iran merancang mengadakan upacara pengebumian negara selama tiga hari bermula 4 Mac, namun rancangan tersebut tidak dapat dilaksanakan susulan serangan udara berskala besar.
Dalam perkembangan berkaitan, konflik antara Iran dan AS serta Israel terus memberi kesan kepada kestabilan serantau termasuk gangguan bekalan tenaga global selepas penutupan Selat Hormuz.
Walaupun gencatan senjata sementara diumumkan pada awal April, rundingan damai yang diadakan kemudiannya dilaporkan gagal mencapai kata sepakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



