BERITA SEMASAHIBURAN

Pelakon era 1990-an Ridani Ghani meninggal dunia akibat kanser ovari

KUALA LUMPUR – Pelakon popular era 1990-an, Ridani Ghani meninggal dunia hari ini pada usia 52 tahun selepas bertarung dengan kanser ovari sejak tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Selayang.

Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh teman rapatnya, Yaya Maembong.

Menurut Yaya, jenazah Ridani akan dibawa ke Masjid Bukit Damansara untuk urusan pengurusan jenazah sebelum dikebumikan.

“Assalamualaikum, saya baru menerima berita bahawa Ridani telah meninggal dunia kira-kira pukul 7 pagi tadi. Jenazah akan dibawa ke Masjid Bukit Damansara untuk diuruskan,” katanya.

Allahyarham disahkan menghidap kanser ovari pada Oktober tahun lalu dan dilaporkan mengalami kemerosotan kesihatan sejak kebelakangan ini.

Kelmarin, beliau dimasukkan ke Hospital Selayang selepas keadaan kesihatannya semakin merosot dan berada dalam keadaan kritikal.

Semalam, anak sulung Allahyarham, Muhammad Faris Syamir Jaafar, 35, memaklumkan ibunya ditempatkan di Wad Penjagaan Paliatif Hospital Selayang selepas tahap kesihatannya semakin membimbangkan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa ibunya tidak ditidurkan sepenuhnya sepanjang menerima rawatan.

Terdahulu, penyampai radio dan pelakon, Sharifah Shahirah turut memaklumkan menerusi media sosial bahawa keadaan Ridani yang dirawat di Hospital Selayang berada dalam keadaan tidak stabil.

Allahyarham meninggalkan dua orang anak lelaki, Muhammad Faris Syamir dan Muhammad Faiq Faisal Jaafar, 33.

Sepanjang penglibatannya dalam industri seni tanah air, Ridani pernah membintangi beberapa drama popular pada era 1990-an iaitu ‘Romeo dan Juliet’, ‘Kilauan’ serta siri drama Spektra yang menjadikan beliau antara wajah dikenali dalam dunia lakonan tempatan ketika itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button