Komposer veteran Ross Ariffin meninggal dunia, pernah hidup sebagai gelandangan
KUALA LUMPUR – Dunia seni tanah air kehilangan seorang tokoh berkaliber apabila komposer dan pemuzik tersohor, Ross Ariffin, 63, dilaporkan meninggal dunia.
Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebook, semalam.
“Saya sangat berdukacita menerima khabar pemergian seorang seniman tanah air, Ross Ariffin, petang tadi. Berita tersebut disampaikan pihak Rumah Seri Kenangan Cheras yang menjadi tempat tinggal Allahyarham sejak November tahun lalu,” katanya.
Fahmi turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan besar Ross kepada industri muzik tanah air.
“Uncle Ross merupakan komposer yang banyak menyumbang kepada industri muzik tempatan. Saya pernah beberapa kali berjumpa beliau ketika hayatnya. Beliau berdepan dengan kehidupan yang mencabar, namun tetap tabah meneruskan perjalanan sebagai anak seni,” katanya.
Allahyarham Ross sebelum ini menggemparkan dunia hiburan apabila kisahnya yang hidup sebagai gelandangan tular di media sosial, sekali gus mengundang simpati pelbagai pihak termasuk kerajaan.
Ross pernah menyertai orkestra di London sebagai pemain biola dan sepanjang kerjayanya, beliau mencipta pelbagai lagu untuk penyanyi tersohor tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Aishah, Jaclyn Victor, Liza Aziz dan Fauziah Latiff.
Antara lagu popular ciptaan beliau ialah Dia (Fauziah Latiff), Kemaafan Dendam Yang Terindah (Datuk Aishah) serta Kau dan Aku (Ning Baizura) yang memenangi kategori Pop Rock di Anugerah Juara Lagu 1995.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” kata Fahmi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








