MCA masih bersama BN, hubungan dengan UMNO kekal baik
KUALA LUMPUR – Parti MCA masih kekal bersama Barisan Nasional (BN) dan hubungannya dengan UMNO berada dalam keadaan baik.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagaimanapun berkata, setiap parti mempunyai agenda tersendiri dan sebarang keputusan bergantung kepada pertimbangan dalaman masing-masing.
“Tapi setakat hari ini, saya nampak MCA kekal bersama BN. Kita ada pertalian yang sangat rapat dengan MCA iaitu lebih daripada 50 tahun.
“Cuma kita semua kena terima hakikat kebanyakan negara di dunia hari ini, apabila ia membabitkan politik, tidak semua akan dapat kuasa secara mutlak.
“Jadi apa perlu kita buat, kita perlu adjust (sesuaikan),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan 100 Tahun Penyelidikan Getah Malaysia, di sini hari ini.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi kemudiannya berkata, hubungan kedua-dua parti sudah terjalin lebih lima dekad dan kerjasama itu menjadikan kedua-dua parti saling memahami satu sama lain.
“Jadi sudah tentu kita sudah terbiasa dengan rakan yang sudah lama bersama kita. Parti lain-lain mungkin belum tentu lagi,” katanya.
Laporan media sebelum ini menyebut, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebagai berkata, MCA tidak teragak-agak untuk menilai semula kedudukan strategiknya bersama BN, sekiranya UMNO terus cenderung untuk menjalinkan kerjasama di luar gabungan itu, terutama DAP.
Ka Siong turut dipetik sebagai berkata, MCA tidak akan berdiam diri sekiranya UMNO terus cenderung kepada kerjasama di luar BN terutamanya dengan DAP hingga menyebabkan semangat BN hilang makna.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








