LUAR NEGARA

Polis London tahan Greta Thunberg kerana pamer sokongan terhadap Palestine Action

LONDON – Polis London menahan aktivis Sweden, Greta Thunberg semalam kerana menyertai satu protes dan memegang papan tanda menyatakan sokongan kepada tahanan kumpulan Palestine Action.

Menurut BBC, Greta,22, ditahan selepas hadir dalam satu demonstrasi di luar pejabat sebuah syarikat insurans di Fenchurch Street, London.

Dalam protes berkenaan, beliau dilihat duduk sambil memegang plakad bertulis: “Saya menyokong tahanan Palestine Action. Saya menentang pembunuhan beramai-ramai.”

Polis London dalam satu kenyataan berkata, sebelum penahanan Greta, dua aktivis lain telah ditahan atas syak melakukan kerosakan jenayah selepas menyembur cat merah pada bahagian hadapan bangunan serta mengunci diri mereka pada premis tersebut.

Polis memaklumkan Greta kemudian hadir ke lokasi kejadian dan ditahan di bawah Seksyen 13 Akta Keganasan 2000, iaitu kesalahan mempamerkan bahan atau simbol yang dianggap menyokong organisasi yang telah diharamkan.

Untuk rekod, kumpulan Palestine Action diharamkan oleh kerajaan United Kingdom.

Greta kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis dan dijadualkan untuk hadir semula ke mahkamah pada Mac 2026.

Protes tersebut diadakan sebagai tanda solidariti terhadap lapan tahanan Palestine Action yang melancarkan mogok lapar ketika menunggu perbicaraan.

Penahanan Greta turut mencetuskan perdebatan meluas di United Kingdom berhubung kebebasan bersuara, penggunaan undang-undang anti-keganasan, serta tindakan keras terhadap aktivis yang menyuarakan sokongan kepada Palestin.

Sementara itu, Greta dalam satu kenyataan berkata, kerajaan perlu campur tangan segera bagi menamatkan kebuntuan berkenaan dengan memenuhi tuntutan munasabah para tahanan.

“Ia terpulang kepada negara untuk bertindak dan menghentikan perkara ini dengan memenuhi tuntutan yang munasabah, demi kebebasan mereka yang menggunakan hak asasi untuk cuba menghentikan pembunuhan beramai-ramai,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button