BERITA SEMASABISNES & EKONOMILUAR NEGARA

Protes kos sara hidup, elaun wakil rakyat gugat keyakinan pelabur di Indonesia

JAKARTA – Indonesia kini berdepan suasana politik yang mencabar apabila demonstrasi berkaitan kenaikan kos sara hidup, tuntutan elaun ahli Parlimen serta keganasan pihak berkuasa telah menjejaskan keyakinan pelabur terhadap negara itu.

Memetik laporan CNBC, Indeks Komposit Jakarta dilaporkan merosot sehingga 3.6 peratus kelmarin, manakala mata wang rupiah susut kepada 16,500 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) iaitu paras terendah harian sejak 1 Ogos lalu.

Walaupun kekecohan serta bantahan berkenaan menghakis keyakinan pelabur, beberapa penganalisis pasaran menegaskan ia tidak akan menjejaskan prospek pertumbuhan jangka panjang Indonesia.

Pengarah Urusan dan Ketua Pendapatan Tetap Asia, Principal Fixed Income, Howe Chung Wan berkata, penjualan saham besar-besaran itu lebih didorong sentimen selepas perkembangan hujung minggu lalu.

“Indonesia masih berada dalam kelompok pasaran sedang membangun yang stabil. Saya tidak fikir perkara ini akan mengubah keseluruhan ceritanya buat masa ini,” katanya.

Sementara itu, penganalisis mata wang OCBC Bank, Christopher Wong menjelaskan, kelemahan jangka pendek rupiah dijangka bersifat sementara dan akan pulih apabila ketidaktentuan domestik reda.

Walau bagaimanapun, beliau enggan membuat ramalan lebih terperinci kerana ketidaktentuan pasaran yang masih tinggi.

Ketua Penyelidikan Indonesia, Macquarie Capital, Ari Jahja pula berkata, pelabur kini menunggu langkah kerajaan bagi memenuhi tuntutan rakyat sekali gus memulihkan keyakinan pasaran.

“Dari sudut positif, Indonesia berpotensi muncul lebih kukuh sekiranya pembaharuan struktur dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Pakar ekonomi DBS, Radhika Rao turut bersetuju bahawa pemacu pertumbuhan jangka panjang negara itu kekal utuh, malah sebahagian penjimatan perbelanjaan kerajaan berkemungkinan boleh dialihkan bagi mengurangkan pengangguran.

Menurutnya, Bank Indonesia masih mempunyai ruang mencukupi untuk mengekalkan dasar monetari akomodatif dan dijangka akan bertindak segera menstabilkan pasaran serta menyokong mata wang rupiah.

Data LSEG menunjukkan, hasil bon kerajaan Indonesia berjangka 10 tahun meningkat kepada 6.335 peratus manakala hasil bon 30 tahun kekal stabil pada paras 6.850 peratus.

Baca juga : Prabowo tarik balik elaun, keistimewaan baharu ahli Parlimen selepas protes berdarah

Punca bantahan

Bantahan besar-besaran yang melibatkan ribuan penunjuk perasaan di beberapa bandar utama Indonesia telah berlarutan hampir seminggu.

Elaun perumahan ahli Parlimen yang mencecah 10 kali ganda gaji minimum bulanan; rakyat berpendapatan rendah terbeban dengan cukai baharu, pemberhentian perkerja dan inflasi, dikatakan menjadi punca kemarahan orang ramai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button