JENAYAH & MAHKAMAH

Masalah peribadi, cemburu dipercayai punca rusuhan bersenjata di restoran

JOHOR BAHRU – Polis menahan tujuh lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes rusuhan menggunakan senjata di sebuah restoran di Bandar Baru Permas Jaya, Masai, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kesemua suspek berusia antara 17 hingga 46 tahun, dengan seorang daripada mereka mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

Menurutnya, polis turut merampas tujuh unit telefon bimbit bagi membantu siasatan, manakala hasil saringan ujian air kencing mendapati semua suspek negatif dadah.

“Siasatan awal mendapati kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.05 malam itu dipercayai berpunca daripada masalah peribadi dan perasaan cemburu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kejadian bermula apabila sekumpulan lelaki dianggarkan seramai 20 orang menyerang dua mangsa yang sedang berada di restoran berkenaan dengan menggunakan objek seperti kerusi plastik dan botol kaca.

“Akibat serangan itu, seorang mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan badan,” katanya lagi.

Menurut Raub, kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga 24 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata atau objek berbahaya.

Beliau berkata, polis masih giat mengesan suspek lain yang dipercayai terbabit dalam kejadian tersebut.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan sentiasa mematuhi undang-undang,” katanya lagi.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi satu minit 29 saat di media sosial yang memaparkan insiden rusuhan membabitkan sekumpulan lelaki berpakaian hitam memukul dua individu yang sedang makan di restoran berkenaan sebelum dileraikan oleh orang awam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button