BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAHPMX

PM kecam tindakan serang Ketua Polis Daerah Dang Wangi, arah siasatan segera

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian, namun mengingatkan kebebasan itu perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan mematuhi undang-undang.

Beliau menegaskan tindakan mencederakan penjawat awam seperti yang berlaku semasa proses pengosongan premis di Kampung Sungai Baru di sini hari ini sebagai tindakan keji dan harus dikecam.

“Kerajaan hormat hak untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian, dan ia dibuktikan dengan konsisten melibatkan pelbagai himpunan sebelum ini.

“Namun, prinsip kebebasan juga menuntut kita untuk bertanggungjawab dan mesti patuh tunduk pada hukum, adab dan undang-undang,” katanya dalam hantaran di media sosialnya hari ini.

Beliau berkata demikian susulan insiden serangan yang menyebabkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di kepala.

“Perbuatan menyerang penjawat awam adalah keji dan mesti dikecam. Saya telah menggesa pihak berkuasa untuk segera menjalankan siasatan serta memberkas dalang dan penyerang yang terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar turut menegaskan perhimpunan aman tidak boleh disalahgunakan untuk tujuan politik sempit sehingga menimbulkan ketegangan dalam kalangan rakyat.

“Keganasan yang dipupuk melalui hasutan, kebencian dan penyebaran maklumat palsu tidak boleh dibiarkan berakar dalam masyarakat,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button