Robert Prevost dilantik sebagai Paus pertama dari Amerika Syarikat
VATICAN CITY – Dunia menyaksikan detik bersejarah apabila Kardinal Robert Prevost, seorang mubaligh kelahiran Chicago, dilantik sebagai Paus ke-267 semalam, menjadikannya individu pertama dari Amerika Syarikat yang memegang jawatan tertinggi dalam Gereja Katolik.
Prevost, 69, yang merupakan anggota Ordo Augustinian, memilih nama Paus Leo XIV dan diumumkan secara rasmi di balkoni utama Basilika St. Peter di Kota Vatican, disambut oleh sorakan ribuan jemaah yang hadir.
Dalam ucapan pertamanya sebagai pemimpin baharu Gereja Katolik, Paus Leo XIV berkata, “Damai sejahtera bagi kamu,” dan menyeru kepada dunia agar menghayati mesej keamanan tanpa senjata serta memperkukuh dialog dan misi evangelisasi.
Beliau mengenakan jubah merah dan pakaian rasmi yang telah diketepikan oleh pendahulunya, Paus Fransiskus, seolah-olah mencerminkan kemungkinan kembalinya elemen tradisional dalam kepemimpinannya selepas era reformasi Fransiskus.
Leo sebelum itu dikenali sebagai tokoh penting dalam memperkukuh peranan uskup seluruh dunia melalui jawatannya di Vatican.
Sebahagian besar hayatnya dihabiskan sebagai mubaligh di Peru, menjadikan beliau sosok yang dihormati kerana kefahaman mendalam terhadap komuniti Katolik di Amerika Latin.
Pelantikan beliau turut mencetus pelbagai reaksi di peringkat global.
Umat Katolik di Amerika Syarikat menyambut berita itu dengan penuh bangga, manakala pemerhati gereja antarabangsa menantikan arah tuju yang baharu itu dalam menangani cabaran semasa seperti sekularisme, migrasi dan krisis dalaman gereja.
Paus Leo dijangka memulakan siri pertemuan penting dalam masa terdekat termasuk bersama para kardinal dan wakil gereja dari seluruh dunia bagi menetapkan keutamaan pentadbiran gereja di bawah kepimpinannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








