SUKAN

Gagal mara ke akhir, skuad badminton wanita negara raih gangsa

KUALA LUMPUR – Skuad badminton berpasukan wanita negara terpaksa akur dengan pingat gangsa selepas tewas tipis 2-3 kepada Indonesia dalam aksi separuh akhir Sukan SEA 2025 di Gimnasium Thamasat Rangsit, Thailand, sebentar tadi.

Aksi bermula hambar apabila perseorangan pertama, K. Letshanaa, gagal menandingi kepantasan Putri Kusuma Wardani dan tunduk 9-21, 10-21, memberikan mata awal buat Indonesia.

Namun semangat skuad negara kembali menyala menerusi gandingan utama, Pearly Tan–M. Thinaah, apabila mereka bangkit memastikan kedudukan kembali seimbang 1-1.

Pasangan negara itu menundukkan Rachel Allessya Rose–Febi Setianingrum 21-14, 17-21, 21-16, sekali gus meneruskan rekod kemenangan ke atas pasangan tersebut selepas kejayaan di Terbuka Denmark Oktober lalu.

Malaysia kemudian mengejutkan lawan apabila pemain muda, Wong Ling Ching, tampil cemerlang mengatasi pemain nombor 10 dunia, Gregoria Mariska Tunjung, dalam pertarungan sengit 22-20, 15-21, 21-16.

Kemenangan itu mengangkat Malaysia mendahului 2-1 dan menyuntik harapan ke final.

Namun kebangkitan Indonesia tidak dapat disekat apabila beregu Febriana Dwipuji Kusuma–Meilysa Trias Puspitasari menewaskan Go Pei Kee–Toh Ee Wei 21-10, 21-9, untuk mengikat kedudukan 2-2 dalam masa 40 minit.

Tugas berat kemudian dipikul perseorangan terakhir negara, Siti Zulaikha Azmi, yang perlu memastikan tiket ke final.

Walaupun menunjukkan ketenangan dan semangat juang tinggi, beliau tewas 18-21, 16-21 kepada Mutiara Ayu Puspitasari selepas 55 minit permainan.

Kekalahan itu menutup peluang Malaysia ke pentas final, sekali gus mengesahkan pingat gangsa pengulangan pencapaian skuad negara pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

Skuad wanita kini dijangka memberi tumpuan kepada saingan individu bagi menutup kempen di Thailand dengan keputusan lebih positif.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button