BERITA SEMASASUKAN

Tang Jie-Ee Wei cipta sejarah di Indonesia Masters

JAKARTA – Malaysia mencipta sejarah baharu dalam kejuaraan Indonesia Masters apabila gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei muncul beregu campuran pertama negara menjuarai kejohanan berprestij itu sejak ia mula dianjurkan pada 2010.

Turun sebagai pilihan ketiga kejohanan, pasangan juara dunia itu bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum mencatat kemenangan 15-21, 21-17, 21-11 ke atas beregu Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje dalam tempoh 56 minit.

Kejayaan dilakar Tang Jie-Ee Wei sekali gus menamatkan penantian panjang Malaysia untuk merangkul gelaran Indonesia Masters dalam acara beregu campuran yang merupakan kejohanan Jelajah Dunia Super 500.

Beregu bimbingan Nova Widianto itu mempamerkan persembahan konsisten apabila lebih banyak menguasai permainan menerusi pendekatan menyerang sepanjang perlawanan.

Kemenangan tersebut menyaksikan Tang Jie-Ee Wei merekodkan kejayaan ketiga ke atas gandingan Christiansen-Boje daripada empat pertemuan, selepas kekalahan mereka pada perlawanan terakhir di Terbuka Macau tahun lalu.

Perjalanan gandingan ranking keempat dunia itu ke pentas final turut diwarnai aksi cemerlang, termasuk menyingkirkan beregu ranking kedua dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin di separuh akhir kelmarin.

Sebagai juara, Tang Jie-Ee Wei membawa pulang hadiah wang tunai AS$39,500 (RM158,217) bersama pingat, manakala pasangan Denmark itu sekadar berpuas hati dengan AS$19,000 (RM76,104) berserta pingat.

Rekod terbaik Malaysia sebelum ini dalam acara beregu campuran Indonesia Masters dicatatkan oleh gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang mara ke perlawanan akhir pada edisi 2016.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button