BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Wanita acu pisau, ugut bakar rumah terhadap ibu kandung didakwa

BATU PAHAT – Seorang wanita sanggup mengacukan pisau terhadap ibu kandungnya dan mengugut untuk membakar rumah didiaminya selepas dihalang keluar dari rumah dalam kejadian di Kampung Sri Pantai, Senggarang, Isnin lalu.

Perbuatan Maznah Naim, 50, bagaimanapun memakan diri apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, menurut laporan Kosmo!

Tertuduh, yang masih bujang, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.

Mengikut pertuduhan, Maznah didakwa menakutkan secara jenayah dengan mengeluarkan kata-kata “aku akan bakar rumah” sambil mengacu sebilah pisau terhadap ibunya berusia 70 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sri Pantai pada pukul 6.30 petang, 1 Disember lalu.

Seksyen 506 Kanun Keseksaan digunakan dalam pertuduhan itu, yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut laporan polis, ibu tertuduh melarang Maznah keluar rumah sebelum wanita itu tiba-tiba naik angin dan mengambil sebilah pisau.
Mangsa yang ketakutan dengan ugutan tersebut membuat laporan di Balai Polis Senggarang keesokan harinya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam Haryanti Othman dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh gagal membayarnya sebelum dihantar ke Pusat Koreksional Muar untuk tahanan sementara. Kes disebut semula pada 4 Februari depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button