Teman wanita jadi ‘kunci’, El Mencho maut dalam serbuan tentera
MEXICO CITY – Maklumat daripada teman wanita membawa kepada penjejakan dan serbuan terhadap ketua kartel dadah Mexico, Nemesio Oseguera atau dikenali sebagai El Mencho, yang maut dalam operasi ketenteraan kelmarin.
Oseguera, 59, yang mengetuai Jalisco New Generation Cartel (JNGC), dilaporkan cedera dalam pertempuran dengan tentera sebelum meninggal dunia ketika diterbangkan ke hospital.
Setiausaha Pertahanan Mexico, Ricardo Trevilla berkata, operasi dilancarkan selepas risikan tentera mengesan rancangan seorang wanita yang juga pasangan romantik suspek untuk bertemunya di Tapalpa, kira-kira 130 kilometer dari Guadalajara, Jalisco.
Menurutnya, wanita itu dibawa ke sebuah rumah oleh sekutu dipercayai sebelum bertemu Oseguera pada Sabtu dan meninggalkannya bersama pengawal keselamatan.
Pasukan keselamatan kemudian melancarkan serbuan darat dan udara selepas mengesahkan lokasi persembunyian suspek yang dikehendaki atas kesalahan jenayah terancang dan pemilikan senjata api.
“Serangan itu agak ganas. Suspek memiliki senjata berat termasuk pelancar roket,” memetik NST online.
Dalam kejadian berbalas tembakan, sebuah helikopter tentera turut terkena tembakan dan terpaksa melakukan pendaratan cemas. Oseguera bersama dua pengawalnya cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital di Guadalajara.
Mayatnya kemudian diterbangkan ke Mexico City dan diserahkan kepada pihak pendakwa raya. Kerajaan memaklumkan jenazah akan diserahkan kepada keluarga, namun lokasi pengebumian belum diumumkan.
Kematian El Mencho mencetuskan gelombang keganasan di 20 daripada 32 negeri di Mexico dengan ratusan sekatan jalan raya serta pembakaran kenderaan dilaporkan.
Susulan itu, kira-kira 10,000 anggota tentera digerakkan bagi mengawal keadaan, meskipun beberapa kawasan di Jalisco dan Michoacan masih menyaksikan insiden terpencil.
Seorang lagi orang kanan kartel dikenali sebagai ‘El Tuli’ turut dilaporkan maut pada hari sama ketika cuba melarikan diri.
Pihak berkuasa mendakwa individu itu menawarkan ganjaran 20,000 peso bagi setiap anggota tentera yang dibunuh sebagai tindak balas terhadap kematian ketuanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








