RM280,000 terkumpul dalam empat hari, usaha bawa pulang jemaah haji Malaysia dipertingkat
KUALA LUMPUR – Gelombang solidariti rakyat Malaysia terus dizahirkan apabila lebih RM280,000 berjaya dikumpulkan hanya dalam tempoh empat hari bagi membantu membawa pulang jemaah haji, Asmah Mansor, 71, yang masih menerima rawatan di Hospital Saudi German, Mekah sejak 13 September lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, jumlah kutipan yang meningkat pantas itu mencerminkan keprihatinan masyarakat yang segera tampil membantu sebaik mengetahui keadaan Asmah.
Menurut beliau, pihaknya optimis sasaran penuh kira-kira RM500,000 dapat dicapai dalam masa terdekat.
“Semalam tabung itu mencecah kira-kira RM143,000, jadi sumbangan bertambah dengan cepat.
“Melihat kepada situasi ini, saya yakin insya-Allah, dalam masa terdekat kita boleh membawa pulang Hajah Asmah,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Mohd Na’im turut berkongsi bahawa Asmah sendiri merayu agar dibawa pulang segera ke Malaysia untuk meneruskan rawatan dan berada di sisi keluarga.
“Saya pun sedih sebab dia bisik kat saya, dia kata, ‘Datuk, bawa mak cik pulang segera, tolonglah saya.’
“Bayangkan, siapa tak rasa sedih. Saya yakin jumlah itu boleh dicapai, dan saya harap sasaran dapat dicapai minggu depan,” ujarnya.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa kos keseluruhan membawa pulang Asmah dianggarkan RM500,000, berikutan keperluan penggunaan ventilator secara berterusan termasuk sepanjang penerbangan.
Asmah disahkan menghidap pneumonia dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sejak tiga bulan lalu.
Peralatan sokongan pernafasan yang kritikal itu perlu dibawa bersama bagi memastikan keadaan beliau stabil sepanjang perjalanan dari Mekah ke Malaysia.
Mohd Na’im berkata, anggaran kos tersebut dibuat berdasarkan maklumat doktor pakar di Arab Saudi serta pegawai perubatan Tabung Haji.
Beliau berharap kutipan dapat dipercepatkan agar Asmah dapat kembali ke tanah air dalam bulan ini untuk rawatan susulan serta sokongan keluarga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






