BERITA SEMASA

Festival Burung Borneo 2025: Platform kerjasama global jurugambar, pencinta alam

SANDAKAN – Peminat burung dari dalam dan luar negara dijangka membanjiri Rainforest Discovery Centre (RDC), di sini pada 25 hingga 26 Oktober ini sempena Festival Burung Borneo 2025.

Acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh penggemar burung dan pencinta alam semula jadi itu bakal menjadi platform penting bagi jurugambar, pencinta alam, serta aktivis pemuliharaan untuk memperkukuh jaringan kerjasama dalam komuniti pemerhati burung.

Bagi mereka yang ingin memulakan pengembaraan pertama sebagai pemerhati burung di Sabah, orang ramai digalakkan menempah melalui agensi pelancongan berlesen yang menawarkan lawatan berpandu khusus.

Agensi tersebut bakal menyediakan pemandu pelancongan berpengalaman serta berpengetahuan luas mengenai lokasi terbaik, tingkah laku burung, dan kemahiran teknikal yang diperlukan oleh peserta pada pelbagai tahap.

Selain kemudahan seperti pengangkutan, permit dan penginapan turut diuruskan sepenuhnya, sekaligus membolehkan peserta memberi tumpuan kepada aktiviti mencerap burung tanpa gangguan.

Festival Burung Borneo
Festival Burung Borneo 2025 peluang keemasan untuk mendekati dunia burung Sabah bersama komuniti antarabangsa. – Foto Intanshs

Bagi yang menggemari pendekatan komuniti, individu boleh menghubungi badan seperti Persatuan Pemerhati Burung Sabah (Sabah Birdwatchers Association) atau Borneo Bird Club.

Kedua-dua organisasi ini aktif menganjurkan aktiviti berkumpulan, bengkel dan program kesedaran alam sekitar yang mesra pemula.

Menurut pemerhati berpengalaman, memerhati burung bukan sekadar mencatat spesies, malah ia satu pengalaman mendalam yang memupuk kecintaan terhadap alam sekitar dan hidupan liar.

Aktiviti ini mengajar kita untuk memperlahankan langkah, menghargai detik-detik senyap, serta memahami keajaiban alam dalam bentuk yang paling tulen.

Sabah yang terkenal dengan kekayaan biodiversiti dan lokasi-lokasi ikonik seperti RDC Sandakan, Taman Kinabalu dan Lembah Danum, terus menjadi destinasi unggul bagi penggemar burung dari seluruh dunia.

Dengan sokongan pemandu profesional serta komuniti pemerhati burung tempatan yang aktif, pengalaman mencerap burung di negeri ini pastinya lebih menyeronokkan, bermakna dan selamat.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di www.sabahtourism.com.

Panduan asas untuk penggiat baharu di Sabah

Festival Burung Borneo
Rufous-backed Kingfisher. – Foto Subki Abdul Hadi

Bagi penggiat baharu, tumpuan awal disarankan kepada spesies burung biasa seperti merbah, kelicap dan raja udang yang mudah dikenali melalui warna dan bunyi, sekali gus membantu membina asas kemahiran mengenal pasti burung.

Kepekaan pendengaran juga penting kerana banyak burung sukar dilihat dan oleh sebab itu, Aplikasi seperti Merlin Bird ID dan BirdNET boleh membantu mengenal pasti spesies melalui panggilan bunyi.

Dalam pada itu, adalah memadai untuk bermula dengan peralatan asas seperti teropong 8×42 dan buku panduan lapangan kerana kemahiran dan kesabaran lebih penting berbanding peralatan canggih.

Penglibatan dalam komuniti pemerhati burung dan lawatan berpandu oleh pakar tempatan membantu mempercepatkan pembelajaran dan menjadikan hobi ini lebih menyeronokkan dan bermakna.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button