BERITA SEMASADALAM NEGERI

Gempa bumi di Sabah: Bomba tingkat rondaan, tiada laporan kecemasan

KOTA KINABALU – Semua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini mengaktifkan rondaan pemantauan di kawasan masing-masing susulan gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 yang dikesan di perairan negeri ini, awal pagi tadi.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan atau laporan insiden berkaitan gegaran tersebut.

“Rondaan dilaksanakan sebagai langkah awal berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan awam dan keadaan persekitaran berada dalam keadaan selamat serta terkawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gempa bumi itu dilaporkan berlaku pada jam 12.57 pagi tadi, kira-kira 49 kilometer barat Kudat pada kedalaman 678 kilometer.

Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di Pantai Barat Sabah serta sebahagian Sarawak, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Di ibu negeri, anggota BBP Kota Kinabalu menjalankan pemantauan di kawasan tepi laut berhampiran Sabah International Convention Centre (SICC) bagi menilai sebarang kemungkinan kesan susulan.

Sementara itu, di Kudat, rondaan tertumpu di kawasan perumahan PPR Taman Ehsan serta sekitar pesisir Pantai Bak-Bak, dengan keadaan dilaporkan normal.

BBP Putatan turut membuat pemantauan di pesisir Pantai Lok Kawi dan Taman Teluk Villa, manakala BBP Kota Belud menjalankan rondaan di Pantai Kampung Buah Pandai.

Setakat ini, pihak JBPM memaklumkan tiada laporan kerosakan harta benda mahupun kecederaan diterima dan situasi keseluruhan kekal terkawal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button