JENAYAH & MAHKAMAH

GERAMM kecam tindakan Inspektor Sheila halang jurugambar media

KUALA LUMPUR – Gerakan Media Merdeka (GERAMM) mengecam tindakan pegawai polis kontroversi, Inspektor Sheila Sharon Steven Kumar, yang memberi ‘amaran’ kepada jurugambar media ketika tiba di kompleks mahkamah bagi menghadapi pertuduhan, hari ini.

GERAMM berkata, jurugambar dan wartawan media mempunyai hak untuk merakam gambar individu yang telah didakwa di mahkamah, selagi ia tidak membabitkan kes melibatkan kanak-kanak atau individu yang perlu dilindungi identitinya.

“Walaupun tiada undang-undang khusus mengenai larangan menghalang tugas media, perlu difahami bahawa semua jurugambar bertugas berhak mengambil gambar suspek yang telah didakwa, kecuali bagi kes tertentu di mana ada pertimbangan untuk melindungi identiti individu berkenaan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Terdahulu, Sheila, 37, tiba di kompleks mahkamah menaiki van polis berwarna putih diiringi pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bagi menghadapi pertuduhan berkenaan.

Ketika keluar dari kenderaan itu, beliau yang memakai blaus dan skirt sempat menyapa petugas media dengan berkata:
“Selamat tengah hari semua. Apa khabar? Baik? Sebarang soalan boleh tanya saya kemudian, ya. Seronok berjumpa dengan anda semua. Hari yang baik untuk Malaysia.”

Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang apabila Sheila menegur jurugambar yang sedang merakam gambarnya.

“Awak ada minta izin saya untuk ambil gambar? Itu hak saya. Awak tak boleh ambil gambar tanpa kebenaran saya. Ambil gambar tanpa izin saya, hati-hati,” katanya lagi.

GERAMM menyifatkan tindakan Sheila itu sebagai tidak wajar dan cuba menakut-nakutkan petugas media yang menjalankan tanggungjawab mereka.

“Kebebasan media untuk melapor dan mendokumentasikan prosiding mahkamah adalah asas kepada ketelusan sistem keadilan serta hak masyarakat untuk mendapat maklumat,” katanya lagi.

Sheila kemudian dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan menghalang tugas penjawat awam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button