Bina kuil di hadapan surau Jumaat Perkim: Pemilik beri jaminan alih struktur – DBKL
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan tegas menghentikan pembinaan sebuah struktur kuil sementara di Lot 205 (PT 200), Jalan Rahmat Off Jalan Ipoh, yang dibina tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan itu.
Menurut DBKL, pembinaan struktur berkenaan dilakukan di atas tanah milik persendirian tanpa sebarang kebenaran rasmi daripada pihak berkuasa.
“Beberapa notis penguatkuasaan telah dikeluarkan di bawah Akta 267 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, termasuk arahan Stop Work Order dan tindakan seal terhadap struktur sementara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
DBKL turut memaklumkan bahawa hasil semakan tapak mendapati kerja-kerja pembinaan struktur tersebut telah dihentikan sepenuhnya.
Hasil perbincangan antara DBKL dan pemilik pada 7 April lalu mendapati struktur itu dibina sebagai penempatan sementara dewa-dewa dari kuil kecil sedia ada berikutan kerja pembangunan semula tapak terbabit menjadi kompleks komersial.

“Pemilik menjelaskan struktur itu tidak dibuka kepada orang awam dan hanya untuk kegunaan peribadi. Mereka juga memberi jaminan akan mengalihkan struktur tersebut serta mematuhi semua peraturan ditetapkan,” katanya lagi.
DBKL turut mengarahkan pemilik mengemukakan permohonan kebenaran merancang secara rasmi untuk pertimbangan lanjut.
Sementara itu, isu tersebut turut mendapat perhatian aktivis masyarakat, Firdaus Wong Wai Hung dalam satu hantaran di laman Facebook, beliau mengucapkan tahniah kepada PERKIM Kebangsaan atas penganjuran perhimpunan aman membantah pembinaan kuil tersebut yang terletak berhadapan Surau PERKIM.
Beliau turut berkongsi lima perkara utama antaranya memuji tindakan MIC yang membina rumah ibadah di tanah milik sendiri namun menegaskan bahawa isu itu bukan soal kaum atau agama, sebaliknya melibatkan soal kedaulatan undang-undang.
“Dalam pelan pembangunan MIC, tiada pembinaan sebarang kuil di lokasi tersebut.
“Selama ini ada kuil kecil di belakang bangunan MIC dan pihak PERKIM tidak pernah membantah, tetapi kini timbul isu kuil yang dibina tanpa kelulusan dan di luar pelan,” katanya lagi.
Firdaus turut mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang sering menggunakan alasan ‘takut timbul isu perkauman’ apabila melibatkan rumah ibadah dibina di atas tanah yang bukan milik, namun tidak menggunakannya dalam kes seperti itu.
“Saya harap semua pihak gunakan ayat yang sama. Jangan hanya digunakan apabila melibatkan Muslim sahaja,” katanya lagi.
Beliau juga menggesa pihak berkuasa menyiasat kes-kes seumpama itu termasuk dakwaan pemberian tanah rizab surau di Kepong oleh bekas Menteri, M. Saravanan pada 2010 dan menghentikan amalan pemberian pampasan kepada penceroboh tanah.
“Saya meletakkan harapan agar Kerajaan Madani di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menoktahkan semua ini.
“Jangan kita mengganjari penceroboh tetapi menghukum mereka yang menegakkan undang-undang,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








