Pemandu langgar suami isteri dipenjara 30 hari, denda RM12,000
KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pemandu yang menyebabkan kecederaan parah terhadap sepasang suami isteri di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Duta, di sini, dihukum penjara 30 hari dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Tertuduh K. Darmaraju, 32, mengaku bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 11 Mei lalu.
Berdasarkan fakta kes, kemalangan berlaku kira-kira pukul 2.30 petang apabila mangsa, lelaki berusia 53 tahun dan isterinya, 49, menunggang motosikal jenis Benelli TRK 502 di lorong kiri lebuh raya sebelum dirempuh oleh sebuah Nissan Navara yang datang dari arah kanan.
Akibat kejadian, mangsa lelaki mengalami retak tulang selangka dan luka pada buku lali, manakala isterinya cedera parah dengan pendarahan di kepala serta patah tulang rusuk dan buku lali.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa memaklumkan, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian pemandu Navara yang gagal mengawal kenderaan.
Pemandu terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan polis pada hari kejadian sekitar pukul 6.55 petang.
Insiden berkenaan menjadi perhatian ramai selepas rakaman video dashcam kemalangan tersebut tular di media sosial melalui akaun ‘DashCam Malaysia’, sehingga menimbulkan pelbagai reaksi netizen.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








