Tuntutan waris Sulu sekali lagi gagal: Mahkamah Rayuan Paris batal ‘final award’
KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia mencatat satu lagi kemenangan penting dalam kes tuntutan waris Sulu apabila Mahkamah Rayuan Paris pada 9 Disember lalu membatalkan sepenuhnya apa yang disebut sebagai ‘final award’ yang dikeluarkan individu menggelar diri sebagai penimbang tara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mahkamah mendapati bahawa individu terbabit, Gonzalo Stampa tidak mempunyai kuasa atau bidang kuasa untuk mengeluarkan keputusan tersebut.
“Keputusan ini sekali lagi mengesahkan bahawa tuntutan terhadap Malaysia adalah tidak berasas dan cacat di sisi undang-undang.
“Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan, kekebalan dan kepentingan negara di mana-mana mahkamah jika keadaan memerlukan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Parlimen hari ini.
Menurut Fahmi, makluman terkini itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Transformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Selain itu, mahkamah turut mengarahkan pihak penuntut Sulu membayar kos sebanyak €200,000 (RM957,140) kepada kerajaan Malaysia.
“Perincian sepenuhnya akan dikeluarkan YB Azalina kelak,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








