BERITA SEMASA

KPM peruntuk RM69 juta tangani isu sekolah padat di Selangor

SEMENYIH – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan RM69 juta bagi menyediakan bilik darjah menggunakan kabin jenis Sistem Binaan Berindustri (IBS) sebagai langkah jangka pendek menangani isu sekolah padat di Selangor.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif itu membabitkan 301 bilik darjah di 95 sekolah di negeri tersebut bagi memastikan suasana pembelajaran lebih kondusif.

“Jangan bayangkan kabin yang digunakan oleh kontraktor. Kita telah mengubah dan menyesuaikannya supaya lebih selesa bagi kegunaan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau hari pertama pembukaan sekolah bagi kalendar akademik sesi 2025/2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Dr Jafri Abu.

Menurut Fadhlina, selain pembinaan sekolah baharu sebagai penyelesaian jangka panjang, KPM turut melaksanakan beberapa intervensi jangka pendek lain seperti penyuraian murid dan pengoperasian sekolah secara dua sesi.

“Kita ada pelbagai intervensi termasuk pembinaan kabin bagi kelas padat, penyuraian murid serta pengendalian dua sesi persekolahan. Ini memerlukan komitmen ibu bapa juga.

“Sebagai contoh, SK Taman Pelangi Semenyih akan beroperasi dalam dua sesi berikutan permintaan yang tinggi,” katanya lagi.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), KPM telah meluluskan 103 projek pembinaan sekolah baharu di kawasan berpenduduk padat, selain 261 projek bangunan tambahan bagi sekolah yang mempunyai lebihan tanah.

Fadhlina berkata, 17 sekolah baharu dijangka dibuka tahun ini sebagai bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih baik.

“Kita berusaha memastikan semua pelajar mendapat persekitaran pembelajaran yang kondusif.

“Oleh itu, dalam dua belanjawan sebelum ini, Kerajaan MADANI telah memperuntukkan perbelanjaan untuk pembinaan sekolah baharu.

“Sebanyak 44 sekolah baharu diluluskan dalam Belanjawan 2025, manakala 26 sekolah dalam Belanjawan 2024.

“Kita berharap inisiatif itu dapat diteruskan bagi menangani isu sekolah padat yang sering dibangkitkan masyarakat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button