BERITA SEMASA

Menteri Pendidikan hadir sambutan 100 tahun SJKC Boon Beng

SIMPANG AMPAT – Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng di sini melakar sejarah tersendiri apabila menyambut ulang tahun yang ke-100 dalam satu majlis yang dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, majlis perasmian sambutan yang diadakan di perkarangan sekolah tersebut menjadi simbol kepada pencapaian gemilang SJKC Boon Beng dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan di kawasan Simpang Ampat, Pulau Pinang.

Fadhlina (tengah) bersama barisan kepimpinan sekolah tersebut serta ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik (empat dari kiri).

“Sepanjang satu abad penubuhannya, sekolah itu kekal konsisten memegang prinsip ‘pendidikan untuk semua’ dengan menerima murid pelbagai kaum dan latar belakang, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan sejati dalam masyarakat majmuk Malaysia.

“Turut diadakan sempena majlis tersebut ialah acara penyerahan lencana Jalur Gemilang kepada Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan.

“Acara simbolik pemakaian lencana pada pakaian seragam beberapa orang murid turut mencuri tumpuan hadirin sebagai lambang semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan generasi muda,” menurut kenyataan tersebut.

Acara simbolik pemakaian lencana Jalur Gemilang kepada pelajar turut diadakan.

Majlis bersejarah itu turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik yang bersama-sama warga sekolah meraikan detik istimewa tersebut.

Dalam ucapannya, Fadhlina menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh warga SJKC Boon Beng – termasuk murid, guru serta pentadbiran sekolah – atas kejayaan mencapai usia 100 tahun.

Beliau juga menggalakkan agar semangat kecemerlangan pendidikan terus diperkasa selaras dengan aspirasi #MalaysiaMadani.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button