SPM 2024 bermula 2 Disember hingga 6 Februari
PUTRAJAYA – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 akan bermula pada 2 Disember hingga 6 Februari depan.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, peperiksaan kali ini melibatkan seramai 402,956 calon yang akan menduduki peperiksaan di 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Peperiksaan dimulakan dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu yang akan berlangsung pada 2, 3, 4 dan 5 Disember, manakala Ujian Amali Sains pada 9,10 dan 12 Disember ini.
“Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pula akan berlangsung 16,17,18, dan 19 Disember; Ujian Mendengar Bahasa Melayu (31 Disember) dan Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (31 Disember).
“Ini akan disusuli peperiksaan bertulis yang akan berlangsung pada 2 Januari hingga 6 Februari 2025,” kata KPM dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan, seramai 126,636 petugas peperiksaan telah dilantik.
KPM pada masa yang sama turut mengingatkan semua calon peperiksaan SPM Tahun 2024 supaya merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan.
“Jadual waktu peperiksaan SPM Tahun 2024 boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my.
“Calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan. Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM Tahun 2024,” katanya.
Bagi calon yang terjejas dengan situasi banjir, KPM menasihatkan mereka supaya memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang sudah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran.
“Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








