BERITA SEMASA

SMSAH ungguli pentas PPM, tekad buru kejuaraan 2026

KOTA TINGGI – Pasukan bahas Bahasa Inggeris Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH), yang dikenali sebagai Jenan Orators, terus mencipta nama apabila meraih kejayaan membanggakan dalam Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri (PPM) Sekolah Berasrama Penuh ke-50 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di SMS Kota Tinggi, Johor, dari 23 hingga 26 Jun lalu.

Pasukan itu menjadi satu-satunya wakil dari daerah Kubang Pasu yang layak ke peringkat kebangsaan dan berjaya berada di kedudukan keenam terbaik daripada 10 sekolah berasrama penuh (SBP) Zon Utara.

Lebih manis, pembahas utama pasukan, Nur Khayra Aleesya Muhd Zaharudin, muncul sebagai Pembahas Terbaik Ranking pertama bagi kategori Bahasa Inggeris di peringkat zon, sekali gus mengukuhkan prestasi pasukan di pentas kebangsaan.

Kecemerlangan pasukan diteruskan apabila dua pembahas turut dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik dalam pusingan awal pertandingan.

Nur Khayra Aleesya menerima pengiktirafan itu pada Pusingan Awal Kedua, manakala Nur Iman Eidriana Noor Hazlan meraih gelaran sama pada Pusingan Awal Kelima.

Atas pencapaian cemerlang itu, SMSAH telah dianugerahkan Anugerah Perak, meningkat satu tahap berbanding Anugerah Gangsa yang diterima pada tahun 2024.

Guru Penasihat Jenan Orators, Norazlina Ismail, berkata kejayaan itu adalah hasil dedikasi, kerjasama pasukan dan sokongan berterusan daripada pihak sekolah serta ibu bapa.

“Kami percaya, dengan usaha berterusan, disiplin pasukan dan doa semua pihak, tiada yang mustahil untuk dicapai,” katanya kepada MT hari ini.

Beliau turut berkongsi harapan pasukan untuk mempertingkat kemahiran berhujah, gaya penyampaian dan pemikiran kritis bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat lebih tinggi.

Katanya, Jenan Orators meletakkan sasaran besar untuk mara ke pentas akhir dan muncul juara dalam PPM ke-51 tahun 2026 yang akan berlangsung di SMS Rawang.

Selain mengejar kejuaraan, pasukan itu juga berhasrat untuk menjadi inspirasi kepada generasi baharu SMSAH agar terus membawa nama sekolah ke tahap tertinggi dalam dunia perbahasan.

“Lebih daripada sekadar menang, kami mahu melahirkan pelajar yang berani menyuarakan pendapat, yakin berfikir dan matang dalam menyampaikan pandangan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button