DAPSY gesa KPM laksana reformasi pendidikan susulan kes Zara Qairina
KUALA LUMPUR – DAPSY Kebangsaan menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) segera melaksanakan reformasi pendidikan menyeluruh susulan kes kematian tragis pelajar, Zara Qairina, yang didakwa akibat dibuli.
Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Syaheera Ghafar berkata, kes berkenaan bukan sahaja melibatkan isu jenayah, malah menjadi loceng amaran terhadap kelemahan sistem pendidikan sedia ada yang gagal melindungi murid daripada menjadi mangsa buli.
“DAPSY mendesak agar KPM memperkukuh kurikulum dengan memberi penekanan terhadap Pendidikan Sivik secara sistematik serta menyediakan saluran aduan berkesan di peringkat sekolah.
“Langkah ini penting supaya pelajar yang menjadi mangsa tidak terabai dan mendapat perlindungan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Syaheera, DAPSY sejak awal konsisten menuntut siasatan komprehensif dilakukan terhadap kes ini dan tidak bersetuju tragedi tersebut dijadikan modal politik.
“Kes Zara tidak sepatutnya ditunggang pihak tertentu demi kepentingan politik. Perkara ini adalah soal nyawa, keadilan dan kedaulatan undang-undang yang mesti diberi perhatian bersama,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, selain gesaan kepada KPM, DAPSY juga telah mengadakan beberapa tindakan termasuk menyertai perhimpunan aman di Sandakan pada 8 Ogos lalu bagi menuntut keadilan untuk Zara.
“Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY turut pada 18 Ogos lalu menekankan keperluan reformasi pendidikan sebagai satu keutamaan nasional, bukan sekadar isu sampingan.
“Tragedi ini harus dijadikan titik tolak kepada pembaharuan dalam sistem pendidikan negara. KPM perlu memandang serius perkara ini demi keselamatan dan masa depan generasi akan datang,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








