BERITA SEMASA

Peningkatan peruntukan MITRA satu detik bersejarah

KUALA LUMPUR – Peningkatan peruntukan bagi komuniti India menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kepada RM150 juta mulai tahun ini merupakan satu detik bersejarah.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, tambahan RM50 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini adalah kali pertama peruntukan bagi agensi itu dinaikkan sejak penubuhannya lebih dua dekad lalu, lapor BERNAMA.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri atas tambahan RM50 juta ini. Sejak penubuhan MITRA, termasuk ketika masih dikenali sebagai Unit Khas Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC), peruntukannya tidak pernah dinaikkan dan kekal sekitar RM100 juta selama lebih 20 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Mahasiswa India di Universiti Malaya, di sini hari ini.

MITRA, yang sebelum ini berada di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum dipindahkan ke Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) adalah unit khas yang bertanggungjawab menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata, beliau menghargai komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasakan komuniti India menerusi pelbagai inisiatif pembangunan sosioekonomi.

Katanya bantuan kepada komuniti India tidak hanya tertumpu kepada peruntukan MITRA semata-mata, sebaliknya turut melibatkan pelbagai program di bawah kementerian dan agensi kerajaan lain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button