BERITA SEMASA

Pelantikan Undang Luak Sungei Ujong Ke-11 didakwa tidak sah, langgar aturan adat – Lembaga Adat

SEREMBAN – Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong memutuskan pelantikan Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong Ke-11 sebagai tidak sah dan tidak menepati aturan adat Luak Sungei Ujong.

lembaga adat
Lembaga Adat turut berkata, sebarang penglibatan individu yang didakwa telah dipecat sebelum ini tidak lagi mempunyai kelayakan dalam menentukan atau mengesahkan pelantikan Undang Luak Sungei Ujong.

Menurutnya, pelantikan berkenaan didakwa tidak melalui proses adat yang wajib dipatuhi, termasuk persetujuan sebulat suara ibu-ibu soko waris Klana Hulu dan Klana Hilir serta Dato’-Dato’ Lembaga Adat yang sah.

“Pelantikan ini adalah tidak sah kerana tidak memenuhi syarat utama adat Sungei Ujong serta tidak mendapat persetujuan sebulat suara seperti yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lembaga Adat turut berkata, sebarang penglibatan individu yang didakwa telah dipecat sebelum ini tidak lagi mempunyai kelayakan dalam menentukan atau mengesahkan pelantikan Undang Luak Sungei Ujong.

Antara yang disebut ialah Orang Kaya Dato’ Laksamana Shaharumzaman Abdul Malek yang didakwa telah dipecat pada 20 Mac 2026, serta Zainol Ariffin Ibrahim yang turut didakwa tidak lagi mempunyai kedudukan sah selepas pemecatan pada 28 November 2024.

“Individu-individu ini tidak lagi sah untuk terlibat dalam sebarang urusan adat atau pelantikan Undang Luak Sungei Ujong,” katanya lagi.

Mereka turut mendakwa penubuhan Majlis Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong juga tidak sah dan tidak diiktiraf, selain tidak mendapat pengesahan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.

Kenyataan itu turut merujuk keputusan mesyuarat khas DKU bertarikh 5 Jun 2026 yang mengesahkan bahawa Dato’ Klana Petra Mubarak Thahak masih sah sebagai Undang Luak Sungei Ujong.

“Sehubungan itu, kami menegaskan sekali lagi bahawa Dato’ Klana Petra Mubarak Thahak kekal sebagai Undang Luak Sungei Ujong yang sah,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Lembaga Adat menasihatkan semua pihak supaya merujuk kepada saluran rasmi adat bagi mengelakkan kekeliruan, sambil menegaskan bahawa sebarang pelantikan yang tidak melalui proses sah adat adalah tidak sah dan terbatal dengan sendirinya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button