Kerajaan peruntuk RM1 juta bina semula jambatan rosak akibat banjir di Sabah
SANDAKAN – Kerajaan bersetuju memperuntukan RM1 juta bagi membina semula jambatan gantung di Penampang dan Tuaran yang musnah dalam kejadian banjir 30 Jun lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan bantu itu akan disalurkan melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara selepas mengambil kira keperluan mendesak penduduk di kawasan terjejas.
“Menurut perincian laporan yang diterima, kejadian itu menjejaskan kehidupan 485 penduduk di kedua-dua daerah dan Putatan,” katanya dalam kenyataan selepas menghadiri sesi taklimat kejadian bencana dan laporan kewangan Sabah oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah di sini, hari ini.
Banjir besar pada 30 Jun lalu melanda beberapa daerah antaranya Penampang, Putatan dan Sipitang menyaksikan kerosakan harta benda awam dan penduduk.
Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan juga telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menempatkan tiga set jambatan Keluli Bermodular (Bailey Bridge) untuk kegunaan sementara jika berlaku jambatan runtuh.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana berkata, Kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan RM10 juta bagi menangani kesan cuaca kemarau di seluruh negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








