BERITA SEMASADALAM NEGERI

Nurul Izzah desak siasatan segera kes anak Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, menggesa pihak berkuasa bertindak segera untuk menjalankan siasatan yang telus, menyeluruh dan bebas daripada sebarang campur tangan terhadap kes anak bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Mewakili PKR, beliau menuntut agar pelaku diheret ke muka pengadilan dengan kadar segera tanpa sebarang kompromi atau pengecualian kerana kelewatan dalam tindakan hanya akan membuka ruang kepada lebih banyak ancaman seumpama itu.

“Tiada seorang pun kanak-kanak sepatutnya terdedah kepada bahaya sebegini. Tindakan sebegini bukan sahaja merupakan jenayah besar malah melanggar prinsip asas kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Instagram.

Nurul Izzah berkata, sebagai seorang manusia dan ibu, beliau memahami keresahan serta kegusaran yang sedang ditanggung oleh Rafizi sekeluarga.

Perasaan itu, katanya, semakin mendalam kerana sejak beberapa minggu lalu, beliau memberi tumpuan kepada usaha melindungi pelajar sekolah daripada ancaman dan buli di alam maya.

Beliau menegaskan, walaupun politik boleh menjadi medan pertarungan idea dan pandangan, keselamatan anak-anak dan keluarga tidak boleh sekali-kali dijadikan taruhan atau senjata untuk menekan pihak lawan.

Beliau memberi amaran bahawa jika ancaman dan intimidasi tidak segera dibanteras, negara akan kehilangan harapan dan keyakinan rakyat terhadap keselamatan awam akan terus merosot.

Menurutnya, pihak berkuasa mesti melaksanakan siasatan dengan ketegasan dan kecekapan maksimum, kerana sebarang kelewatan atau kegagalan dalam mengesan dalang serangan ini akan memberi isyarat yang salah kepada penjenayah.

Nurul Izzah turut menzahirkan simpati kepada keluarga Rafizi, mendoakan kesembuhan buat anak dan isterinya serta memohon agar mereka terus diberikan kekuatan dan perlindungan.

Terdahulu, Rafizi mengesahkan anaknya diserang oleh dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar yang menaiki motosikal, sebelum menarik mangsa dan menikamnya dengan jarum suntikan di sebuah pusat beli belah di Putrajaya.

Tidak sampai 24 jam daripada itu, isterinya menerima kiriman mesej yang mahu mereka sekeluarga ‘mendiamkan diri’ sekiranya tidak mahu menerima suntikan virus HIV.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button